suria

Sharnaaz Ahmad Pilih 31 Mac Nikah Noor Nabila

Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila dalam sidang media mengumumkan tarikh pernikahan mereka. FOTO: SAMUEL ONG
KUALA LUMPUR: Aktor Sharnaaz Ahmad memilih 31 Mac 2017 sebagai tarikh keramat untuk disatukan sebagai suami-isteri dengan kakak kepada Neelofa iaitu Noor Nabila Mohd Noor yang berusia 33 tahun.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 32, berkata majlis akad nikah mereka akan diadakan di kediaman wanita itu di Duta Tropika di sini pada tarikh berkenaan yang turut jatuh pada malam Jumaat.

"Tarikh itu dipilih mengikut nasihat keluarga yang mahu perkahwinan kami dipercepatkan dan tarikh 31 Mac itu tiada apa-apa yang istimewa.

"Keluarga mahu majlis dilakukan pada Mac kerana tidak mahu terkejar-kejar dengan bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa," ujarnya kepada mStar Online.

Sharnaaz ditemui pada majlis sidang media pengumuman tarikh perkahwinannya dengan Noor Nabila di sini, petang Isnin.


Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila. FOTO: SAMUEL ONG
Pelakon lelaki itu berkata majlis pernikahan itu akan diadakan secara tertutup bersama ahli keluarga terdekat sahaja.

"Kami merancang untuk bernikah di kediaman Nabila yang akan dihadiri ahli keluarga terdekat, namun kami masih berbincang sama ada menjemput media atau tidak kerana kawasan itu kecil sahaja takut tidak cukup tempat," ujarnya.

Majlis resepsi akan diadakan pada 2 April di Kuala Lumpur dan di sebelah keluarga lelaki pula akan diadakan pada 16 April di G Hotel, Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia tidak mengadakan sebarang majlis pertunangan sebelum bernikah.

"Kami buat majlis perkahwinan secara sederhana sahaja dan kami juga tidak bertunang kerana tidak mahu melalui dugaan bertunang.

"Perkara itu juga antara nasihat keluarga yang mahu kami terus sahaja bernikah," ujarnya.

Terdahulu majlis merisik diadakan di kediaman wanita tersebut di sini pada 18 Disember 2016.
Sharnaaz Ahmad

Artikel Lain