suria

Bergelar Pelakon Filem, Aliff Syukri Janji Tak 'Gedik'

Usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman teruja bakal berlakon dibawah arahan pengarah terkenal, Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen. Foto THE STAR/NORAFIFI EHSAN

SHAH ALAM: Pengasas produk D'Herbs iaitu Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menyangkal pemilihannya sebagai pelakon utama filem Badang adalah kerana dia menaja kos penerbitan nashkah arahan Datuk Profeser Dr. A. Razak Mohaideen itu.

Aliff, 30, sebaliknya berkata, dia tidak terlibat dari sebarang urusan produksi malah pada awalnya terkejut apabila ditawarkan peranan dalam filem berkenaan.

"Saya tidak menaja atau terlibat dalam sebarang urusan produksi sebaliknya dibayar untuk membintangi filem itu.

"Pada awalnya saya terkejut juga ditawarkan berlakon malah mengambil masa agak lama juga berfikir sebelum memberikan keputusan.

"Bagaimanapun saya akhirnya bersetuju kerana berlakon memang impian saya dan alang-alang mendapat peluang rasanya tidak salah saya mencuba bagi membuktikan saya ada bakat dalam lakonan," katanya kepada mStar Online.

Aliff akan bergandingan dengan Fasha Sandha dalam Badang.

Aliff ditemui pada majlis doa selamat dan bacaan skrip filem Badang yang diadakan di Intekma Resort & Convention Centre di sini, Jumaat.

Filem terbitan FiTA Studios Sdn Bhd dan UiTM Holdings itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Aliff Syukri, Fauzi Nawi dan Fareez Fauzi.

Filem adiwira adaptasi daripada kisah rakyat itu bakal menjalani penggambaran pada 15 Januari ini.

Dalam pada itu, Aliff berkata, sebagai persediaan dia mengambil cuti selama dua bulan daripada tugasnya sebagai ahli perniagaan bagi memberi fokus kepada penggambaran.

Malah kata Aliff, dia turut mengambil kelas lakonan bagi mempelajari selok-belok teknik lakonan yang betul agar dapat memberikan persembahan terbaik dalam filem itu nanti.

"Saya ambil cuti kerana saya tidak boleh membuat dua kerja dalam satu masa dan bimbang fokus saya akan terganggu nanti.

Aliff berjanji akan memberikan lakonan terbaik.

"Sepanjang ketiadaan saya, isteri akan ambil alih semua urusan pejabat bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada Badang.

"Selain latihan sebelum memasuki set penggambaran saya juga turut mengambil beberapa kelas bagi memantapkan teknik lakonan saya," ujarnya.

Sementara itu, Aliff berjanji penampilan sulungnya dalam filem itu akan menjanjikan kelainan dan penonton akan melihat sisinya yang berbeza.

"Apa yang boleh saya katakan menerusi filem ini tidak akan ada perangai 'gedik' seperti mana ketika saya promosikan produk saya.

"Saya mengambil serius dengan peluang yang diberikan ini dan berjanji akan memberikan terbaik kerana bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini," ujarnya yang akan muncul dalam program realitinya iaitu Oh! Abang Kosmetik.

Artikel Lain