suria

Bella Dally Sukar Capai Keserasian Dengan Syamsul Yusof

Bella Dally
PETALING JAYA: Pelakon Bella Dally mengakui sukar mencapai keserasian dengan aktor gandingannya Syamsul Yusof dalam filem terbaharu pengarah Syafiq Yusof berjudul Desolasi.

Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 26, berkata, perkara tersebut disebabkan pengarah Munafik itu kurang bercakap dengan pelakon wanita.

"Saya akui susah sikit untuk mencapai keserasian dengan Syamsul kerana kami jarang bercakap dan dia tidak bergaul sangat dengan pelakon wanita.

"Beberapa hari jugalah saya ambil masa untuk dapatkan keserasian itu, saya pula ada rasa gementar kerana dia Syamsul Yusof. Sepatutnya untuk capai lakonan yang bagus kita kena tahu karakter pasangan kita dalam lakonan," ujarnya kepada mStar Online.

Barisan pelakon utama Desolasi.

Bella ditanya tentang keserasiannya dengan pelakon Syamsul Yusof dalam filem Desolasi ketika ditemui selepas majlis pratonton Desolasi yang diadakan di GSC One Utama, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Bella berkata, Syamsul sendiri ada memberitahu tentang sikap tersebut kepadanya agar tidak timbul rasa kurang senang.
 
"Dia ada datang beritahu saya bahawa dia memang bersikap begitu dengan pelakon perempuan, jadi saya tidak ambil hati atau tertanya-tanya," ujarnya.

Dalam pada itu, Bella berkata, penggunaan kesan pengimejan berkomputer (CGI) turut memberi cabaran kepadanya dalam membawakan watak Maya.

"Selain hujan, CGI turut memberi cabaran kepada saya kerana saya perlu membayangkan sesuatu perkara ketika melakonkan sesuatu adegan," ujarnya.

Filem Desolasi yang turut dilakonkan oleh Pekin Ibrahim dan Datuk Jalaluddin Hassan ini bakal ditayangkan bermula 8 Disember ini di seluruh pawagam tanah air.
Bella Dally, Syamsul Yusof, Desolasi

Artikel Lain