suria

Didie Alias Kurang Senang Sikap Sombong Artis Baharu

Didie Alias pernah menegur beberapa sikap beberapa artis baharu yang disifatkannya sebagai sombong.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Didie Alias kurang senang dengan segelintir artis baharu yang bersikap berlagak hanya kerana merasakan diri mereka sudah popular.

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 42, berkata, pengalaman bekerja dengan beberapa artis baharu sebelum ini membuatkan dia terkejut senario berkenaan semakin berleluasa kerana ia tidak sihat untuk perkembangan industri hiburan tempatan.

"Jujur saya katakan ada segelintir artis baharu perlu memperbetulkan sikap mereka yang tidak tahu menghormati artis lebih senior ketika di lokasi penggambaran.

"Sindrom hanyut dalam populariti membuatkan mereka boleh lakukan apa sahaja sehingga tidak tahu menghormati artis lebih tua daripada mereka.

"Pada saya sikap seperti itu perlu dihakis segera kerana ia akan memberi impak tidak baik kepada industri," katanya kepada mStar Online.

Tambah Didie selain hanyut dalam populariti sikap berkenaan wujud kerana situasi industri yang jauh berubah kerana tidak sukar untuk menjadi seorang pelakon atau penyanyi ketika ini.

"Saya tengok yang segelintir ini ketika berada di lokasi menegur pun tidak dan asyik bermain dengan telefon dan buat hal sendiri. Jika di zaman saya dahulu tiada berlaku senario seperti ini," ujarnya.

Sementara itu, Didie berkata, sebagai artis senior menjadi tanggungjawabnya untuk menegur sikap negatif yang ada pada bakat-bakat baharu agar mereka sedar kepentingan menjaga hubungan sesama rakan artis.

Bagaimanapun kata Didie, teguran yang diberikan bukan dilakukan secara kasar sebaliknya menasihati secara baik selain menunjukkan sikap positif kepada mereka.

"Saya bukan jenis hendak mengamuk tidak tentu hala tetapi saya yakin dengan teguran yang baik ia pasti dapat meninggalkan kesan kepada mereka.

"Setakat ini adalah seorang dua yang saya tegur menampakkan perubahan dan masih perlu banyak belajar untuk terus kekal lama dalam industri.

"Mereka perlu ingat untuk menjadi popular itu mudah tetapi untuk mengekalkannya paling sukar dan ia perlu bermula dengan sikap," ujarnya.

Didie Alias

Artikel Lain