suria

Erma Fatima Guna Pelakon Wajah Komersial Untuk Pancing Penonton

Erma Fatima
PETALING JAYA: Pengarah drama Erma Fatima sengaja menggunakan pelakon berwajah komersial sebagai salah satu cara untuk memancing orang ramai datang menonton teaternya.

Erma berkata, walaupun dia sedar ada beberapa pihak terutamanya pelakon-pelakon yang berkecimpung dalam dunia teater tidak berpuas hati tentang perkara itu, namun dia terpaksa membuat pilihan tersebut memandangkan ia adalah satu-satunya cara untuk melariskan penjualan tiket.

"Buat apa saya dan team produksi penat bertungkus lumus berkarya sekiranya tiada yang mahu datang menonton?

"Saya mengaku sengaja memilih pelakon-pelakon popular terlibat dalam karya teater untuk menarik perhatian umum.

"Dan saya juga mengaku, saya 'jual' mereka agar teater saya dihadiri orang ramai," katanya kepada mStar Online.

Pelakon Bawang Putih Bawang Merah dari kiri; Fathia Latiff, Syarul Ridzwan dan Juliana Evans.

Tambah Erma, dia yakin, pelakon-pelakon popular yang mempunyai pengikut terutamanya di laman sosial juga dapat membantu daripada segi penjualan tiket.

Bagaimanapun kata Erma, pendedahan yang diberikan kepada pelakon-pelakon baharu terlibat dengan pentas teater turut memberi manfaat kepada mereka untuk mengasah bakat lakonan agar menjadi lebih baik.

Malah pelakon yang ditawarkan terlibat dengan pentas teater tidak patut sia-siakan peluang tersebut.

"Berlakon teater dan berlakon di depan kamera adalah perkara yang sangat beza. Mereka perlu menghafal skrip untuk teater manakala untuk drama atau filem boleh diulang rakam.

"Jadi apabila pelakon komersial  berpeluang untuk berlakon di pentas teater, mereka tidak harus sia-siakan tawaran itu.

"Dan pada masa sama mereka perlu membuktikan mampu berlakon dengan baik. Sekiranya mereka boleh buat, bermaksud mereka serius dalam kerja yang dilakukan itu," ujarnya.

Antara teater arahan Erma melibatkan pelakon-pelakon popular yang baru dipentaskan di Istana Budaya ialah Bawang Putih Bawang Merah dan Mok Cun..
Erma Fatima

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain