suria

Kemelut Rumah Tangga Hasnol, Isteri Akhirnya Pulih

Hasnol dan Marina kembali bersatu selepas rumah tangga mereka mengalami pergolakkan pada awal tahun ini. Foto Ihsan Facebook HASNOL HASSAN ARIFF.
PETALING JAYA: Penyanyi Hasnol menjelaskan keadaan rumah tangganya bersama isteri, Marina Mohin yang bergolak sejak awal tahun ini kembali pulih seperti sediakala.

Hasnol atau nama sebenarnya, Hasnol Hassan Ariff, 45, berkata, mereka sepakat untuk menyelesaikan kemelut yang dialami secara baik dan memulakan kehidupan baharu.

"Hampir tiga bulan kami berpisah dan tempoh itu digunakan untuk merenung kembali kesilapan masing-masing yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Saya juga sedar hidup di dunia ini singkat dan tiada gunanya untuk berdendam sebaliknya perlu menyelesaikan semua masalah dengan baik," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Astro di Hotel Majestic di sini, Selasa lalu.

Hasnol yang pernah popular menerusi Laguku Untukmu turut mengakui faktor kewangannya yang tidak menentu antara punca berlakunya masalah di antara dia dengan Marina.

Dalam pada itu, Marina yang ditemui berkata, dia yang memulakan langkah untuk memujuk suaminya itu telah berbincang secara baik bagi menyelesaikan kemelut di antara mereka.

Hasnol pernah popular dengan lagu 'Laguku Untukmu'.

Kata Marina, hampir sebulan mereka berbincang dari hati ke hati untuk mencapai kata sepakat tentang pelbagai perkara yang terbuku di hati masing-masing.

"Sebulan kami berbincang sebelum kembali bersama pada 27 April lalu dan biarpun saya isteri, tetapi tidak ada salahnya jika saya mulakan langkah demi menyelamatkan hubungan kami.

"Alhamdulillah banyak hikmah dan pengajaran yang kami dapat daripada pengalaman tersebut dan ia mematangkan kami," ujarnya.

Pasangan itu mempunyai seorang cahaya mata iaitu Haneesa Maisara yang kini berusia lima tahun.

Menerusi perkahwinan pertamanya, Hasnol mempunyai tiga anak iaitu Aqeet Hayyat, 20; Aqeet Hilman, 17 dan Hanna Aeesya, 12, manakala hasil perkahwinan terdahulu Marina, dia mempunyai tiga anak, Zafirah, 21; Ilya Zulaikha, 20 dan Muhammad Aliff Imran, 15 tahun.

Dalam perkembangan lain, Hasnol bakal bekerjasama dengan isterinya untuk menghasilkan single terbaharunya yang akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini.

Hasnol, Laguku Untukmu.

Artikel Lain