suria

"Sifat Tamak Masyarakat Boleh Dilihat Pada Bulan Ramadan" - Chef Wan

Chef Wan (dua dari kiri), terlibat menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Rabu. Turut kelihatan Nik Faizarina Nik Afandi (dua dari kiri). FOTO: AZHAR MAHFOF.
KUALA LUMPUR: Cef selebriti terkenal, Datuk Chef Wan menganggap masyarakat negara ini sebagai tamak dan gelojoh sehingga sanggup membazirkan makanan ketika bulan Ramadan.

Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail, 58, berkata, senario itu dapat dilihat ketika mereka berada di bufet Ramadan apabila ada diantaranya berebut-rebut dan enggan beratur untuk mendapatkan makanan.

"Mereka sering mengambil makanan dengan banyak ketika di hidangan buffet, tidak mahu beratur tetapi akhirnya tidak mampu menghabiskan makanan tersebut kerana kekenyangan.

"Di rumah sekalipun, ada juga ibu-ibu yang membazir dengan menyediakan makanan sehingga penuh satu meja untuk ahli keluarga tetapi untuk apa?” katanya.

Chef Wan ditemui ketika menghadiri pengagihan bubur lambuk bersama Petronas Dagangan Berhad (PBD) di Masjid Jamek Kampung Baru di sini pada Rabu.

Para pekerja Petronas Dagangan Berhad (PBD) bekerjasama menyediakan bubur lambuk untuk orang ramai.

Hadir sama Pengurus Besar Cecair Gas Petroleum di PBD, Nik Faizarina Nik Afandi.

Tambah beliau, jika dilihat kepada statistik makanan kesihatan, orang Melayu paling ramai dirawat akibat kencing dan darah tinggi selepas bulan Ramadan.

Katanya, masyarakat Malaysia telah mengubah bulan Ramadan menjadi pesta makanan dan ia telah lari daripada objektif sebenar berpuasa.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata, dia bekerjasama dengan PBD sebagai satu cara untuk membalas budi syarikat tersebut yang telah memberikan tajaan kepadanya selama beberapa tahun dia menjadi chef selebriti.

"Bertahun-tahun dahulu Petronas sering menjadi penaja kepada rancangan televisyen saya seperti Cita Rasa Sedunia Chef Wan.

"Saya juga senang bekerja dengan Petronas kerana ia merupakan satu syarikat yang bukan sahaja mengaut keuntungan tetapi memberi semula dan peka kepada masyarakat," katanya.

Tahun ini merupakan tahun ke-13 PBD menjadi penaja kepada Masjid Jamek Kampung Baru dalam meneruskan tradisi mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai pada bulan Ramadan.
Chef Wan

Artikel Lain