suria

Alif Satar Hanya Terima Tawaran Di Lembah Klang Untuk Jaga Anak

KUALA LUMPUR: Penyanyi Alif Satar memberitahu lebih mengutamakan tawaran nyanyian di sekitar Lembah Klang sahaja bagi memudahkannya pulang ke rumah untuk menjaga isteri dan anaknya.

Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 25, berkata, tanggungjawabnya kini bertambah selepas dikurniakan cahaya mata sulung yang diberi nama Alisha Anugerah pada 31 Mei lalu.

"Tanggungjawab saya kini lebih besar terhadap keluarga, saya perlu menjaga isteri yang sedang dalam pantang bersama bayi kami.

"Sebab itu saya tidak ambil undangan nyanyian yang luar dari Kuala Lumpur sebab tiada siapa yang akan menjaga mereka, paling jauh pun setakat ini di Kuang, Selangor," ujarnya.

Alif Satar bersama puteri sulungnya Alisha Anugerah

Tambah Alif, dia juga tidak berminat untuk mengambil khidmat pembantu rumah bagi meringankan beban kerana mahu melakukan tugasan tersebut sendiri.

Katanya lagi, sejak bergelar bapa dia banyak memahami erti pengorbanan dan apa yang telah dilalui oleh ibu bapa ketika membesarkannya.

"Kalau dulu saya suka ambil kesempatan dan sering mengelak serta melepaskan tanggungjawab di rumah kepada ibu dan isteri.

"Tapi sekarang selepas melihat bagaimana isteri saya bersusah payah melahirkan bayi sulung kami, saya insaf dan sebaik mungkin menolong dia buat kerja rumah termasuk memasak," katanya.

Alif mendirikan rumah tangga dengan Shadila Halid, 31, pada 15 September 2014.

Alif Satar

Artikel Lain