suria

Soo Wincci Peroleh Tenaga Luar Biasa Kerana Amalan Berpuasa

Soo Wincci tetap bergiat aktif dalam bidang seni biarpun berpuasa. Foto Arkib THE STAR.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Soo Wincci tidak menjadikan amalan berpuasa dilakukannya sebagai alasan untuk dia tidak bergiat aktif menjalani aktiviti hariannya yang sentiasa padat.

Soo Wincci, 29, sebaliknya berkata, amalan berpuasa di bulan Ramadan memberikannya tenaga luar biasa termasuk dia lebih teliti dalam melakukan perancangan dan berfikiran tajam ketika membuat sesuatu keputusan.

"Setiap kali Ramadan saya sentiasa ada tenaga luar biasa meskipun sedang berpuasa malah lebih fokus dalam melakukan sesuatu.

"Pada masa ini juga saya selalunya mengatur perancangan saya kerana ketika berpuasa saya mendapati minda saya lebih fokus," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Ramadan kali ini adalah tahun keempat bekas peserta program Masterchef Selebriti Malaysia itu berpuasa.

Wincci mengamalkan makan buah kurma ketika bersahur.

Dalam pada itu, Wincci berkata, bagi memastikan dapat berpuasa dengan lancar dia akan memastikan dapat bangun sahur dan berhenti makan sebelum masuk waktu Subuh.

Wincci berkata, selain makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan telur separuh masak, dia akan memastikan turut menjamah dua biji buah kurma.

"Kebiasaannya saya tidak mengambil makanan berat waktu sahur tetapi ia mestilah berkhasiat.

"Paling penting adalah buah kurma kerana khasiat di dalamnya yang membekalkan tenaga untuk sepanjang hari," ujarnya.

Berkongsi pengalaman tahun ini, Wincci berkata, puasa hari kelima memberi cabaran kepadanya apabila perlu berlakon di bawah sinaran terik matahari ketika untuk drama bersiri The Injustice Stranger di Semenyih dekat sini.

Katanya, rakan pelakon lain dalam drama berkenaan berasa pelik dengannya yang tetap berpuasa biarpun penggambaran tersebut mencabar.

Biarpun terpaksa berlakon dibawah sinaran matahari namun Wincci tetap mahu meneruskan puasanya.

"Memang rasa seperti hendak pengsan tetapi saya tidak mahu mengalah kerana menganggap itu adalah cabaran buat diri saya.

"Saya berazam untuk berpuasa penuh seperti tahun sebelum ini," katanya yang akan menjalani penggambaran sehingga Julai depan.

Sementara itu, Wincci berkata, dia gembira peminat sentiasa memberikan kata-kata semangat kepadanya menerusi laman sosial Instagram untuk sentiasa tabah mengharungi dugaan berpuasa.

"Tiga tahun sebelum ini ramai yang mempertikaikan tindakan saya tetapi masuk tahun ini saya terima pelbagai kata-kata galakan daripada mereka.

"Malah rakan-rakan bukan Muslim juga turut menyokong dan ada yang mencuba berpuasa selepas melihat saya berjaya melakukannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wincci berkata, dia akan kembali ke Taiwan pada bulan hadapan sebelum pulang ke Malaysia pada Oktober untuk konsert solonya.

Soo Wincci.

Artikel Lain