suria

Empat Pendengar Rangkaian Radio Star Bawa Pulang Vespa

Empat pendengar bertuah masing-masing membawa pulang vespa. Dari kiri; Adinatta Sukri, Anuja Balachandran, Mazlyna Hanum Abdul Majid dan Ho Wei Bin.
PETALING JAYA: Seramai empat pendengar bertuah Star Radio Group berjaya membawa pulang hadiah masing-masing sebuah Vespa Primavera menerusi peraduan di empat saluran kumpulan radio itu.

Ia adalah What's The F Word (Red FM), Saat Panik (Suria FM), I Am VIP (988) dan My Perfect 500 (Capital FM).

Pemenang-pemenang tersebut ialah Mazlyna Hanum Abdul Majid yang memenanginya di saluran Red FM, Adinatta Sukri (Suria FM), Ho Wei Bin (988) dan Anuja Balachandran (Capital FM).

Mazlyna yang turut menerima wang tunai sebanyak RM10,200 berkata, dia tidak sangka peraduan berkonsepkan teka bunyi itu memberi tuah kepadanya.

"Kira-kira lebih dari sebulan saya mengikuti peraduan ini dan bukan senang nak telefon stesen radio.

"Hampir setiap hari saya perlu cuba telefon untuk memberi jawapan kepada penyampai radio. Dengan wang hadiah ini saya merancang mahu bercuti ke mana-mana pusat peranginan," katanya kepada mStar Online.

Mazlyna ditemui pada majlis penyerahan hadiah kepada empat pemenang peraduan berkenaan di Pejabat Vespa Naza Premira di sini pada Khamis.

Mazlyna Hanum Abdul Majid (bertudung) bersama Kudsia Kahar (dua dari kiri) dan mereka yang hadir semasa majlis penyampaian hadiah vespa kepada pemenang.

Bagi Anuja yang baru saja beralih menjadi pendengar Capital FM sejak Januari lalu, kemenangannya menerusi peraduan tersebut membuatkan dia lebih setia bersama stesen radio tersebut.

Selain hadiah Vespa, Anuja juga menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,500, manakala Adinata mendapat RM3,000 dan Ho Wei Bin sebanyak RM1,700.

Dengan kerjasama Naza Premira Sdn Bhd, peraduan tersebut bermula sejak Mac 2015.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Operasi Star Radio Group, Kudsia Kahar berkata, peraduan itu merupakan  satu kejayaan besar pihaknya lebih-lebih lagi apabila mereka menerima banyak penyertaan daripada pendengar radio.

"Apa yang saya lihat, pendengar suka menyertai sesebuah peraduan berdasarkan jenis hadiah yang disediakan.

"Dan saya lihat hadiah vespa adalah sesuatu yang baru dimana belum.ada lagi stesen radio lain yang memberikan hadiah seperti ini," katanya.
Star Radio, Suria FM

Artikel Lain