suria

Sam (Bunkface) Debar Nanti Tarikh Nikah 25 April

Sam (Bunkface)
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Bunkface iaitu Sam bakal melangsungkan pernikahan dengan seorang penerbit program televisyen TV3 iaitu Aida Azira, 28 pada 25 April ini.

Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 27, berkata majlis pernikahan itu bakal berlangsung di Dewan Sapura Building, The Mines, dekat sini.

“Saya akan melangsungkan perkahwinan dalam masa tiga minggu sahaja lagi dan sekarang persiapan sedang dijalankan, Alhamdulillah semua berjalan lancar.

“Majlis yang diadakan di Dewan Sapura Building merupakan majlis akad nikah dan resepsi pihak lelaki,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Sam bersama tunangnya, Aida Azira.

Dalam pada itu, Sam berkata majlis pernikahan itu akan diadakan secara sederhana sahaja.

“Pihak kami sekeluarga membuat majlis ini secara kecil-kecilan dan bersederhana. Hanya rakan-rakan terdekat dan ahli keluarga bakal memeriahkan majlis ini,” ujarnya.

Selain itu, Sam turut berkongsi perasaan bakal menamatkan zaman bujang bersama kekasih hatinya itu.

“Saya tidak pernah berkawin sebelum ini tapi apa yang dapat saya katakan perasaan saya bercampur-campur.

“Kadang-kadang ada perasaan gemuruh dan bila difikirkan semula rasa gembira kerana umur macam saya sepatutnya sudah ada anak kecil dan mungkin inilah masa yang tepat untuk memulakan kehidupan baru,” katanya.

Terdahulu Sam mengikat tali pertunangan bersama Aida pada 6 Oktober 2014.

Majlis resepsi bagi pihak perempuan pula dijadualkan berlangsung pada 2 Mei depan di Masjid Tanah, Melaka.

Sam bersama kumpulan Bunkface bergerak ke Palembang, Indonesia pada Jumaat bagi menjayakan Musi Fest 2015.

Sam Bunkface

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain