suria

6ixth Sense Masih Relevan Selepas 10 Tahun

Kumpulan 6ixth Sence

KUALA LUMPUR: 6ixth Sense berjaya membuktikan mereka masih relevan sebagai sebuah kumpulan muzik apabila berjaya mengadakan persembahan 'Sense of Love' selepas 10 tahun menapak dalam industri muzik tahan air.

Menurut vokalisnya Adi Priyo Sambodo, selama ini ramai pihak menganggap kumpulan 6ixth Sense sudah tua dan tidak lagi relevan.

"Kejayaan mengadakan persembahan pada malam ini diharap dapat membuka mata ramai pihak tentang kewujudan band ini.

"Kami berharap agar persembahan ini dapat memberi kepercayaan kepada  orang ramai band ini masih relevan dan mampu untuk bersaing dengan band yang ada sekarang," katanya kepada mStar Online.

6ixth Sence di hadapan kira-kira 500 peminat mereka.

Kumpulan 6ixth Sense berkata demikian ketika ditemui pada 'Showcase 6ixth sense "Sense Of Love"' di Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur, di sini, Ahad.

Pada persembahan itu mereka mempersembahkan sebanyak 11 buah lagu antaranya Hari Ini Dan Semalam, Manisnya Cinta, Hari Ini Dan Semalam, Tanpa, Tak Bisa Memilihmu dan Penerang Hati.

Tambah Adi lagi persembahan berkenaan merupakan percubaan awal bagi mereka namun ia masih belum layak untuk mereka mengadakan sebuah konsert besar.

"Bukan mudah untuk membuat sesuatu konsert dan itu juga menjadi impian setiap kumpulan termasuk kami.

"Kami bersyukur walaupun tidak dapat membuat konsert tetapi melalui 'showcase' ini ia memudahkan kami untuk berinteraksi bersama peminat 6ixth Sense," jelasnya lagi.

Persembahan vokalis 6ixth Sence iaitu Adi.

6ixth Sense yang dianggotai oleh lima orang pemuzik  turut memperkenalkan lagu baharu menerusi genre dangdut iaitu '7 Kali Malam Minggu' yang mendapat sambutan daripada peminat.

Dalam perkembangan lain, 6ixth Sense juga turut memperkenalkan dua buah kumpulan anak didik mereka iaitu Cerpen Band dan Sakura Band menerusi persembahan pembukaan.

Dianggarkan kira-kira 500 penonton menyaksikan persembahan berkenaan.

 

6ixth Sence

Artikel Lain