suria

The Jackson Ajak Peminat Imbau Kenangan Dalam Persembahan Esok

Kumpulan The Jackson mula popular pada tahun 1970-an
KUALA LUMPUR: Kumpulan adik beradik legenda pop Micheal Jackson iaitu The Jackson akan mengadakan persembahan di negara ini buat kali kedua sempena festival Formula Satu (F1) pada Khamis.

Salah seorang ahli kumpulan The Jackson iaitu Jermaine Jackson, 60, berkata persembahan kali ini diadakan adalah untuk mengimbau kembali kenangan bersama lagu-lagu yang pernah dipopularkan mereka suatu ketika dahulu.

"The Jackson akan menjanjikan persembahan yang hebat dan bertenaga kepada tetamu yang hadir untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan kami bersama Micheal Jackson.

"Saya berharap agar semua tetamu dapat hadir pada hari itu akan terhibur dengan persembahan yang bakal diadakan," katanya.

Jermaine berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media 'The Petronas Malaysia Grand Prix Gala 2015' di JW Marriott Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Turut hadir  Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang ,Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir dan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (Bidara), Toh Puan Norzieta Zakaria .

The Jackson akan mengadakan persembahan mereka sempena Malaysian F1 Grand Prix Gala 2015 pada Khamis, pukul 9 malam di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC).

The Jackson yang popular pada tahun 1970-an dianggotai Tito, Jarmaine, Marlon dan Jackie.

Mereka dikenali dengan lagu hit seperti I’ll Be There, ABC dan Don’t Stop Till You Get Enough.

Terdahulu, kumpulan ini pernah mengadakan persembahan di Stadium Negara pada Disember 2012.

Persembahan 'The Petronas Malaysia Grand Prix Gala 2015' diadakan bertujuan mengumpul dana Bidara yang merupakan pertubuhan kebajikan yang dikendalikan oleh isteri-isteri wakil rakyat Barisan Nasional Kedah.
The Jackson

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain