suria

Isu Bakal Bertunang Buat Nelydia Senrose Tertekan

Nelydia mahu kunci mulut tentang dakwaan bakal bertunang.

SHAH ALAM: Pelakon Nelydia Senrose memberitahu dakwaan bakal mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat dengan kekasihnya Qi Razali membuatkan dirinya tertekan dengan pertanyaan daripada pelbagai pihak.

Nelydia, 21, berkata, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan tentang isu tersebut bagi menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak.

“Ada baiknya saya tidak komen apa-apa kerana berita buat saya tertekan kerana ramai sangat yang bertanya hal itu. Lagi pula ia bukan keluar daripada mulut saya.

“Ia bukan kerana saya ingin memberi hak eksklusif pada mana-mana stesen televisyen tetapi saya mahu menjaga hati keluarga masing-masing, namun apa yang boleh saya cakap maklumat yang diberi di blog hiburan bahawa kami confirm akan bertunang adalah tidak benar,” ujarnya kepada mStar Online.

Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu pertunangannya dengan pelakon Qi Razali yang dikatakan bakal dilangsungkan dalam masa terdekat.

Dia ditemui pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015, yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, Sabtu.

Nelydia memenangi kategori Hero dan Heroin Pilihan menerusi drama Setitik Kasih Darmia bersama pelakon Sharnaaz Ahmad.

Sementara itu, Nelydia turut menafikan dia kini sedang memerlahankan kerjayanya untuk persiapan pertunangan tersebut.

“Ramai yang bertanya tentang perkara itu, namun saya rasa tidak perlu untuk bercakap apa-apa dulu yang tidak pasti. 

“Saya masih  sibuk berlakon, selagi ada yang tawarkan watak yang baik saya akan ambil,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang kemenangannya sebagai Hero dan Heroin Pilihan, Nelydia berkata, keserasian antara dia dan Sharnaaz Ahmad mudah dicapai dalam setiap drama.

Katanya, Sharnaaz merupakan pelakon yang berkualiti dan mempu melakonkan setiap watak dengan baik.

“Ini kali kedua kami menang pasangan serasi dan keserasian antara kami kadang-kala disalah erti hingga ke luar set penggambaran.

“Bagi saya Sharnaaz pelakon yang bagus dan berkualiti. Dia faham dan tahu apa yang saya cuba sampaikan kepadanya walau tidak terdapat dalam skrip,” katanya.

Nelydia Senrose, Qi Razali

Artikel Lain