suria

Erma Fatima Jelaskan Kekeliruan Wajah Remy Ishak Di Poster Teater

Erma Fatima. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

KUALA LUMPUR: Pengarah teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta, Erma Fatima menjelaskan kekeliruan gambar pelakon Remy Ishak dicetak pada poster dan bena teater tersebut berikutan artis itu menarik diri pada saat-saat akhir.

Erma berkata, pelakon itu menyatakan kegagalannya untuk terlibat selepas semua poster dan bena sudah siap dicetak untuk proses promosi teater tersebut.

"Remy tidak dapat menyertai teater ini kerana pada saat akhir jadual kerjanya bertindan dan ketika itu pihak kami sudah membuat cetakan pada poster dan bena.

"Jika mahu mencetak sekali lagi untuk keluarkan namanya sudah tentu akan mengeluarkan kos yang banyak. Bagaimanapun, masalah itu sudah diselesaikan dengan Remy," ujarnya pada sidang media selepas tayangan media teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta, di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Jumaat.


Pementasan teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta akan dipentaskan bermula 3 hingga 7 Januari ini sempena menyambut Maulidur Rasul.

Antara artis yang turut terlibat ialah Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Awie, Tegar, Ellie Suriaty, Datuk Rahim Razali, Umie Aida dan Beto Kusyairy.

Sementara itu, ketika ditanya tentang penarikan tajaan sebuah syarikat, Erma berkata dia melakukan pementasan tersebut ikhlas bagi memperingati Rasulullah biarpun tanpa sebarang tajaan.

"Bagi saya kalau mahu buat tajaan biar secara ikhlas. Saya tidak kisah tiada tajaan kerana teater ini memang saya lakukan untuk ibadah.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dapat sokongan penuh oleh pihak Istana Budaya dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Erma berkata, hasil kutipan pada hari terakhir pementasan akan diberikan sepenuhnya kepada mangsa bencana banjir.

Katanya, dia dan beberapa artis yang terlibat dalam pementasan tersebut akan turun ke kawasan banjir bagi mengagihkan sendiri bantuan kepada mangsa banjir selepas tamat pementasan.

"Hari ketujuh nanti semua artis akan melakukan persembahan secara percuma kerana hasil kutipan itu akan diserahkan kepada mangsa banjir.



"Malah saya rancang untuk turun ke sana melihat keadaan mereka dan menyerahkan sendiri bantuan tersebut bersama beberapa artis," katanya.

Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta merupakan sebuah drama muzikal yang menceritakan riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W dari kelahirannya sehinggalah kewafatan baginda diiringi selingan lagu-lagu kisah Nabi dan Selawat.

Teater ini menggabungkan 20 orang pelakon utama, 80 orang pelakon tambahan, 15 pemuzik dan enam penyanyi latar.

Pementasan Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta  mula ditayangkan bermula 3 Januari hingga 7 Januari 2015 di Panggung Sari, Istana Budaya.

Artikel Lain