suria

Najwa Mahiaddin Sesuaikan Diri Bertudung Selepas Tunai Haji

Foto imej terbaru Najwa yang dikongsi bersama pembaca mStar Online.

PETALING JAYA: Penyanyi Najwa Mahiaddin masih belajar untuk menyesuaikan diri apabila membuat keputusan untuk berhijab selepas pulang mengerjakan ibadah haji pada Selasa lalu.

Pegawai perhubungan awam penyanyi wanita itu, Joe Saiful, berkata, Najwa, 28, bagaimanapun memberitahu, semasa dalam proses menyesuaikan diri ini, pelbagai perkara boleh berlaku sama ada dia mahu berubah dengan imej baharunya itu ataupun kekal kepada penampilan sebelum ini.

"Memang Najwa sudah bertudung selepas menunaikan haji baru-baru ini. Tetapi dia pun tidak berani mengulas panjang mengenai perkara tersebut kerana risau sekiranya, imej itu bersifat sementara sahaja.

"Kerana itu juga dia tidak memuat naik sebarang foto dirinya bertudung di Instagram. Bagaimanapun dia berharap imej itu akan kekal, Insya-Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Najwa kini berada di Singapura untuk menjayakan persembahan pada Anugerah Planet Muzik (APM) yang akan berlangsung pada Jumaat (hari ini).

Joe (kiri) bersama Najwa dan rakan-rakan mereka.

Sementara itu, Joe berkata, pihaknya bersama Najwa sedang membuat penelitian dan kaji mengenai imejnya itu.

"Setakat ini, apa yang dilihat dalam gambar yang saya berikan adalah imej tudung yang dipakai Najwa sekarang. Tetapi pihak kami tetap akan mengkaji pelbagai gaya tudung bersesuaian untuk Najwa tampil di khalayak.

"Lagipun Najwa seorang yang sederhana tetapi tetap memiliki elegan yang tersendiri. Nantikan saja imejnya pada acara APM malam ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Najwa yang sudah pun tamat pengajiannya di Berklee College of Music Boston, Amerika Syarikat (AS) hujung tahun lalu ingin memberi fokus kepada karier nyanyiannya di negara ini.

Najwa yang bernaung di bawah syarikatnya sendiri iaitu Nada Biru Muzik Sdn Bhd akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat rakaman Sony Music Malaysia bagi penerbitan albumnya akan datang.

Najwa Mahiaddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain