suria

Artis Top Belum Tentu Dapat Lariskan Tiket Teater

Barisan artis popular yang bakal menjayakan teater 'Di Bawah Lindungan Kaabah'.
PETALING JAYA: Penerbit teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Siti Rohayah Attan mengakui barisan artis popular yang menjayakan sesebuah teater tidak menjamin penjualan tiket dan tidak semetinya dapat menarik penonton untuk datang menyaksikan pementasan tersebut.

Siti Rohayah berkata, kejayaan sesebuah pementasan bergantung kepada tajaan daripada syarikat-syarikat korporat yang membeli tiket secara pukal sebagai sumbangan atau tanggungjawab sosial. 

"Secara jujur artis-artis popular yang berlakon teater ini tidak menjamin dapat menarik masyarakat luar datang ke Istana Budaya menonton teater. 

"Kalau kita lihat persembahan lain yang menggunakan artis barisan hadapan seperti Awie, Erra Fazira dan Zizan Razak sekalipun susah untuk jual tiket dan penuhkan pentas pada malam persembahan mereka. 

"Semua penjualan tiket kini hanya bergantung kepada pembelian daripada syarikat-syarikat swasta yang membeli secara banyak sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada anak yatim atau pekerja," katanya kepada mStar Online

Rohayah Attan berharap ramai lagi pihak tampil membeli tiket pementasan tersebut.

Tambahnya, penjualan tiket secara 'walk-in' dan berkumpulan yang dijual sebelum persembahan bermula seringkali tidak mendapat sambutan daripada orang ramai. 

Bagaimanapun, dia akui penglibatan artis popular dalam sesebuah projek pementasan adalah untuk memberi nilai kormersial kepada teater tersebut, media dan penaja. 

"Peminat mereka memang ramai tetapi tiada yang sanggup datang, pengalaman pementasan saya dulu tiada pun kutipan tiket daripada pembelian secara 'walk-in'," ujarnya. 

Dalam pada itu katanya, setakat ini  beberapa persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Puteri Umno yang tampil menunjukan sokongan dengan membeli tiket pementasan teater tersebut.  

Tambah Siti Rohayah, pihaknya masih memerlukan tajaan kira-kira sebanyak RM1 juta lagi untuk pementasan teater yang berjumlah RM 2.4 juta itu. 


Teater Di Bawah Lindungan Kaabah akan dipentaskan pada 9 hingga 18 Mei ini di Panggung Sari, Istana Budaya. 

Antara barisan artis terdiri daripada Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi Ismail, Yasmin Hani dan Liza Abdullah. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain