suria

Rafiena Ezanee Jadi Produser Kerana Berlakon

Barisan para pelakon Wanita Dalam Pasungan.

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Rafiena Ezanee Ramli menjadikan bidang lakonan sebagai batu loncatan untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang penerbit drama.

Rafiena, 31, berkata, menerusi bidang itu dia dapat menimba ilmu tentang selok-belok penerbitan sesebuah drama selain berjaya mengutip banyak ilmu sepanjang 13 tahun bergelar pelakon.

"Saya tidak pernah bercita-cita untuk bergelar pelakon sebaliknya mahu menjadi usahawan dan saya sedar satu-satunya cara untuk mendalami bidang lakonan itu adalah dengan terlibat secara langsung dengannya.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada pelbagai individu dalam industri ini saya memberanikan diri membuka syarikat produksi sendiri sejak lima tahun lalu," katanya kepada mStar Online.

Rafiena ditemui pada pelancaran drama terbaharu terbitan syarikatnya iaitu Darkwave Pictures berjudul Wanita Dalam Pasungan di Hard Rock Cafe di sini, Isnin.

Drama 28 episod itu menampilkannya sebagai watak utama di samping Datuk Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Lia Natalia, Mubarak Majid dan Rosnah Mat Aris.

Datuk Rafiena Ezanee Ramli
Rafiena Ezanee

Ia disiarkan sejak Februari lalu iaitu pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 5 petang di Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Dalam pada itu, Rafiena berkata, setakat ini syarikat produksinya telah menerbitkan hampir 50 buah telefilem dan drama bersiri untuk pelbagai stesen televisyen di negara ini.

Jelasnya, sebagai seorang penerbit dia mengakui bukan mudah untuk dia mendapatkan kepercayaan daripada pihak stesen namun berkat kesabaran usaha kerasnya menampakkan hasil.

"Dulu sebelum bergelar penerbit hanya ada beberapa individu yang percayakan saya terutamanya Datuk Yusof Haslam yang banyak memberi dorongan dan galakkan.

"Saya akui sukar pada mulanya untuk bertapak kerana ramai yang tidak mahu lihat saya berjaya dalam bidang tersebut," jelasnya.

Tambah Rafiena, kekuatan syarikat produksinya adalah menerbitkan naskhah asal dengan genre berat seperti telefilem Pondok Plastik Tepi Kubur lakonan Fauziah Nawi yang mendapat rating tertinggi di Astro.

Sementara itu, Rafiena berkata, dia pada awalnya enggan berlakon dalam drama Wanita Dalam Pasungan kerana bimbang tindakkannya itu akan disalah erti.

Bagaimanapun selepas diyakinkan oleh barisan panel skrip syarikatnya dia akhirnya bersetuju untuk memegang watak utama itu.

"Sebelum ini saya memang jarang berlakon dalam drama terbitan sendiri dan jika ada pun sekadar kemunculan istimewa atau watak sampingan kerana bimbang akan disalah erti.

"Saya juga sudah lama tidak berlakon dan boleh dikatakan drama terbaharu ini sebagai 'comeback' saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rafiena berkata, buat masa ini produksinya sedang menyiapkan hampir 10 judul drama dan bercadang untuk menerbitkan sebuah filem pada tahun ini.

Artikel Lain