suria

Dialog 'Bahayanya Wanita' Tidak Sesuai Untuk Kanak-Kanak- KP Istana Budaya

Mohamed Juhari Shaarani
Mohamed Juhari Shaarani
Mohamed Juhari Shaarani

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani mengakui terkejut dan tidak menjangka teater Bahayanya Wanita yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 31 Disember mengandungi dialog yang tidak bersesuaian dengan golongan kanak-kanak.

Mohamed Juhari berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati dalam pemilihan teater yang akan dipentaskan terutamanya untuk slot cuti sekolah supaya lebih bersesuaian untuk seisi keluarga.

"Ketika pementasan bermula saya berada di New York dan London atas urusan kerja dengan produksi teater di sana dan sewaktu pulang teater ini sudah seminggu dipentaskan.

"Saya tidak sangka banyak dialog mengandungi perkataan 'double meaning' yang tidak sesuai untuk kanak-kanak. Saya beritahu kepada pihak pengurusan tiket agar memberitahu ibu bapa terlebih dahulu dan tidak galakkan mereka untuk membawa anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang beberapa aduan mendakwa teater yang dipentaskan pada musim cuti sekolah itu banyak menjurus kepada golongan dewasa terutama sekali watak yang dibawa oleh pelawak Zizan Razak.

Beberapa dialog, perlakuan serta nyanyian pelakon terutamanya watak Mat Don Al-Atas yang menyentuh tentang bahagian wanita.

Tambah Mohamed Juhari, bagaimanpaun dia tidak menafikan ramai penonton daripada golongan kanak-kanak terutamanya peminat kepada Zizan datang menyaksikan pementasan tersebut.

"Pihak Istana Budaya mengambil positif aduan tersebut dan akan lebih memantau teater terutamanya berunsur komedi, yang mana lebih banyak melakukan menambahan dalam dialog mereka," ujarnya.

Teater dibarisi pelakon-pelakon popular seperti Zizan Razak, Umie Aida, Erra Fazira, Nora Danish, Johan Asaari, Erma Fatima dan Ziela Jalil.

Teater ini dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 20 hingga 31 Disember ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain