suria

Keith Foo Semakin Laris Selepas Tinggalkan Indonesia

Keith Foo. Foto ART CHEN
Keith Foo. Foto ART CHEN
Keith Foo. Foto ART CHEN

PETALING JAYA: Pelakon dan model yang mencipta nama di Indonesia iaitu Keith Foo semakin serasi bekerja dengan produksi Malaysia dan berharap namanya terus kukuh dalam industri seni tempatan.

Keith, 30, berkata, sejak menetap di Malaysia pada awal tahun ini, dia menerima pelbagai tawaran lakonan sehingga terpaksa menolak tawaran di Indonesia disebabkan jadual kerja yang padat.

"Tidak sangka, dalam tempoh tidak sampai setahun, banyak produksi yang menawarkan saya berlakon untuk drama mereka dan bagi saya, ia petunjuk yang sihat.

"Sehinggakan saya terpaksa menolak pelbagai tawaran lakonan sinetron Indonesia kerana kepadatan jadual kerja," katanya kepada mStar Online.

Tambah anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan ini, peningkatan karier lakonan di negara ini juga membuatkan dia nekad mahu menetap di Malaysia lebih-lebih lagi dia turut mendapat respons baik daripada peminat-peminatnya di negara ini.

Pada masa sama, Keith menganggap, selepas 10 tahun menetap dan membina kerjaya seni di Indonesia, sudah tiba masanya dia bekerja di tanah air sendiri agar lebih mudah untuk bersama keluarga.

Dalam pada itu, Keith berkata, dia tetap tidak akan mengabaikan kerja lakonan di negara seberang memandangkan sudah mempunyai peminat-peminat yang ingin melihat dia beraksi dalam sinetron.

"Saya mungkin akan mengambil kerja-kerja lakonan di Indonesia membabitkan masa kerja yang pendek seperti berlakon telefilem.

"Ini kerana saya tidak mahu mengabaikan peminat-peminat saya yang banyak menyokong sejak dari awal pembabitan saya di bidang seni Indonesia.

"Mujurlah di zaman serba canggih ini saya dapat berkomunikasi dengan peminat-peminat Indonesia menerusi Facebook, Twitter dan Instagram. Mungkin pada pertengahan tahun depan saya akan ke Indonesia bagi menjalani penggambaran telefilem di sana," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain