suria

Awie Minta 'Pertemuannya' Dengan Erra Fazira Tidak Disensasikan

Awie menegaskan kerjasama bersama Erra Fazira adalah atas dasar profesional.
Awie menegaskan kerjasama bersama Erra Fazira adalah atas dasar profesional.
Awie menegaskan kerjasama bersama Erra Fazira adalah atas dasar profesional.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Awie berharap gandingan terbaharunya bersama Erra Fazira dalam konsert Suara Kita di Istana Budaya pada Mac 2014 tidak disensasikan hanya kerana mereka pernah bertunang suatu ketika dahulu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, menegaskan kerjasama yang turut menggandingkan Ziana Zain itu adalah atas dasar profesional.

"Apabila mengambil keputusan untuk mengadakan konsert ini sejarah lama antara saya dan Erra pasti akan menjadi perhatian namun saya berharap ia tidak disensasikan.

"Kerjasama ini hanya semata-mata atas dasar profesional. Saya dan dia sudah mempunyai kehidupan masing-masing, sejarah lama tidak perlu diungkit lagi," katanya kepada mStar Online.

Tambah Awie, isterinya, Ruzana Misbun juga tidak mempunyai sebarang masalah tentang kerjasama tersebut dan memberi keizinan untuk berbuat demikian.

Malah kata Awie, Ruzana juga teruja dengan gabungan itu kerana turut mengagumi bakat lakonan dan nyanyian Erra.

"Sebelum saya buat sesuatu, saya akan bincang dengan isteri termasuk mengenai konsert ini. Dia sangat profesional dan tidak melarang kami bergandingan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Awie berkata, dia berbincang dengan Erra mengenai konsert tersebut ketika pelakon itu muncul dalam program kendaliannya iaitu Tunggu Sekejap terbitan TV3 awal tahun ini.

Jelas Awie, walaupun pada mulanya rasa bimbang Erra akan menolak tawaran tersebut namun dia lega apabila wanita itu bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Saya sudah lama ingin merancang projek ini namun tidak tahu bagaimana ingin menghubungi Erra dan mengambil kesempatan ketika bertemu dengannya dalam program Tunggu Sekejap dan Alhamdulillah dia bersetuju untuk terlibat dalam konsert itu," jelasnya.

Bercakap lanjut mengenai konsert berkenaan, Awie berkata, dia ingin mengadakan konsert tersebut untuk mengembalikan nostalgia peminat dengan membariskan lagu popular daripada filem lakonan ketiga-tiga mereka.

Selain persembahan nyanyian, dia juga merancang untuk mengadakan slot teater muzikal pada konsert itu bagi memberikan kelainan.

"Banyak perkara yang ingin dibuat untuk konsert itu dan ia masih dalam penelitian lagi malah satu pengumuman khas akan dibuat selepas ini," jelasnya.

Sementara itu sibuk merancang konsert berkenaan Awie kini sedang giat menjalani latihan untuk pementasan teater Supermokh yang bakal mengangkat kisah kehidupan legenda bola sepak Asia, Datuk Mokhtar Dahari yang bakal dipentaskan di Istana Budaya November depan.

Jelas Awie, dia sangat berbesar hati apabila dipelawa oleh pihak penerbit iaitu Hans Isaac bagi menggalas tanggungjawab itu dan menganggap kepercayaan yang diberikan sebagai penghargaan buatnya.

"Allahyarham adalah seorang bintang yang cukup besar dan dihormati oleh peminatnya dan amanah ini cukup berat untuk saya tetapi ia satu cabaran dan penghargaan buat saya," jelasnya.

Tambah Awie, bagi menjayakan watak itu juga dia berusaha mengurangkan berat badan selain menyimpan misai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain