suria

Jurey Latiff Kalah Saman TV3

Jurey Latiff
Jurey Latiff
Jurey Latiff

KUALA LUMPUR: Produser drama, Jurey Latiff Mohd Rosli pada Selasa kalah dalam saman fitnahnya berjumlah RM10 juta terhadap TV3 berhubung satu wawancara dalam program Melodi lima tahun lepas.

Ketika menolak saman Jurey, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan bahawa perkataan yang terkandung dalam wawancara itu bukanlah fitnah terhadap Jurey Latiff.

Hakim berkata perkataan itu juga tidak sama seperti fitnah memandangkan Jurey telah pun dimaklumkan mengenai kandungan wawancara itu sebelum program Melodi disiarkan.

"Beliau tahu tentang isu yang diutarakan kepadanya. Beliau tahu apa yang diperkatakannya," kata hakim, dan menambah plantif boleh menolak daripada diwawancara namun beliau mengizinkan untuk diwawancara.

Selanjutnya, hakim berkata Jurey Latiff secara sukarela mengambil bahagian dalam wawancara itu dan beliau sedar tentang isu yang diperkatakan.

Nik Hasmat turut menegaskan bahawa TV3 sebagai stesen TV utama di negara ini hanyalah bertindak mengikut tanggungjawab kewartawanan dalam menyiarkan wawancara itu.

Hakim memerintahkan Jurey Latiff membayar kos RM25,000 kepada TV3.

Pada 13 Jan, 2009, Jurey Latiff, yang juga Presiden Penerbit Televisyen Malaysia memfailkan saman terhadap TV3 dengan mendakwa program Melodi yang disiarkan TV3 pada 12.30 tengah hari 21 Sept, 2008 telah memfitnah beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata hos Nas Ahmad membayangkan bahawa beliau individu tidak bermoral dan seorang suami serta bapa yang tidak jujur dan tidak bertanggungjawab.

TV3, dalam pernyataan pembelaan yang dibetulkan, berkata wawancara itu dibuat dalam keadaan perlindungan bersyarat memandangkan ia mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk menerbitkan apa jua maklumat yang diperolehnya tentang mana-mana individu agar orang ramai mendapat maklumat sepenuhnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain