suria

Peserta Akhir BMB Perlu Hasilkan Persembahan Lebih Baik

AR Badul (kiri) dan Fauziah Ahmad Daud
AR Badul (kiri) dan Fauziah Ahmad Daud
AR Badul (kiri) dan Fauziah Ahmad Daud

SHAH ALAM: Peserta Bintang Mencari Bintang (BMB) yang layak ke peringkat akhir perlu membuat persembahan mencapai paras piawaian dan standard melebihi persembahan terbaik mereka berbanding sebelum ini.

Juri acara itu, Fauziah Ahmad Daud berkata, dia mengharapkan persembahan yang lebih baik dilakukan oleh peserta berbanding sebelum ini dan tidak hanya terpilih kerana undian daripada peminat semata-mata.

"Saya sentiasa meletakkan satu standard yang lebih tinggi dan mengharapkan persembahan yang lebih baik setiap kali mereka melakukan persembahan.

"Saya juga tidak mahu mereka dipilih berdasarkan sokongan dan undian SMS (khidmat pesanan ringkas) peminat sahaja walhal prestasi persembahan tidak memberangsangkan.

"Perkara-perkara tersebut akan membunuh mereka dan membuatkan mereka leka," katanya ketika ditemui selepas program separuh akhir Bintang Mencari Bintang di Sri Pentas 2, Shah Alam, malam Ahad.

Sementara itu, AR Badul berkata empat peserta yang terpilih ke persembahan akhir ini merupakan yang terbaik dan telah menunjukkan peningkatan dalam setiap persembahan mingguan.

"Saya faham ia bukan satu tugas mudah untuk membuat persembahan pada setiap minggu, bagaimanapun mereka perlu memberi persembahan yang lebih baik dan menunjukkan peningkatan pada malam akhir nanti.

"Untuk beraksi di pentas ‘final’ nanti saya tidak mahu persembahan seperti kanak-kanak dan hanya hiburan semata-mata," katanya.

Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa berkata acara peringkat akhir akan mengekalkan format pemarkahan yang sama dan juri profesional.

"Peserta akan melakukan dua persembahan iaitu bersama mentor mereka dan seorang artis undangan, sementara format pemarkahan masih sama iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus daripada SMS dan 20 peratus juri awam.

"Kali ini kita memberi peluang lebih ramai penonton untuk datang menyaksikan persembahan secara percuma di tempat yang lebih besar," katanya.

Pada pertandingan separuh akhir BMB yang berlangsung pada Ahad, empat peserta telah layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, di sini pada 23 Jun ini.

Peserta solo tunggal iaitu Achey iaitu anak didik kepada Harun Salim Bachik meraih markah 133.7 markah, peserta berkumpulan Tapaw (anak didik Faizal Ismail) mendapat 135.3 markah, Titan (anak didik Sabri Yunus) menerima 126.4 markah dan Bocik (anak didik Afdlin Shauki) mendapat 125.9 markah.

Program yang bermula sejak April lalu menyaksikan sebanyak 12 kumpulan bertanding di bawah bimbingan enam tenaga pengajar termasuklah kumpulan Senario dan Raja Azura.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain