suria

Dua Filem Mamat Khalid Kutip RM9.65 Juta

PETALING JAYA: Dua filem Mamat Khalid berjaya mencatat memberangsangkan apabila memperoleh kutipan RM8.9 juta masing-masing RM9.65 juta untuk filem Husin Mon & Jin Pakai Toncit dan RM3.8 juta bagi Rock Oo.

Pengarahnya, Mamat Khalid berkata, kutipan itu amat membanggakannya selepas melihat perniagaan filem sebelum ini menunjukkan kemerosotan.

“Walaupun kutipan itu tidaklah besar jumlahnya seperti filem-filem 'boxoffice' lain pada tahun-tahun sebelum ini, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian filem tersebut.

"Dalam keadaan kutipan industri filem tempatan yang agak muram sekarang ini, segala kutipan daripada Rock Oo amat memuaskan hati saya termasuklah Husin Mon & Jin Pakai Toncit,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu Mamat berkata, dia turut mendapat respons yang baik terhadap filem Rock Oo yang ditayangkan sejak 28 Februari lalu sehingga membuatkan pihak panggung melanjutkan tayangannya sehingga Ahad ini.

“Berdasarkan kepada respons penonton, mereka amat berpuas hati dengan Rock Oo berbanding filem pertama Rock (2005)," katanya.

Tambah Mamat, bagaimanapun masih terlalu awal untuknya memikirkan cadangan untuk menghasilkan Rock 3 pula.

Rock Oo terbitan Grand Briliance dan Naga AVXS Sdn Bhd merupakan kesinambungan Rock yang memaparkan kisah kehidupan kumpulan Rimba Bara yang telah berpecah dan kini bersatu semula.

Semangat ahli kumpulan Rimba Bara terpupuk semula dan mereka bertekad untuk meneruskan perjuangan dan mencari jalan penyelesaian untuk setiap rintangan yang datang bagi merealisasikan impian menjadi kumpulan rock yang terkenal di persada seni tanah air.

Filem ini dibarisi pelakon Que Haidar, Khir Rahman, Shoffi Jikan, Pekin, Saiful Apek dan Azmi Black.

Sementara itu filem Husin Mon & Jin Pakai Toncit masih lagi ditayangkan di pawagam.

Sebelum ini filem arahan Mamat iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah mencatat kutipan tertinggi iaitu RM7.90 juta.

Filem yang diedarkan oleh Tayangan Unggul Sdn Bhd itu masih lagi ditayangkan di pawagam.

Artikel Berikut

Artikel Lain