suria

Permusuhan Aziz Sattar & Freddie Fernandez Mungkin Selesai

Freddie Fernandez
Freddie Fernandez
Freddie Fernandez

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez percaya tindakan Datuk Aziz Sattar yang mula bertegur sapa dengannya dalam beberapa pertemuan kebelakangan ini sebagai petanda baik untuk menamatkan konflik yang tercetus antara mereka.

Freddie berkata, reaksi Aziz yang dilihat semakin mesra ketika mereka bertemu pada sebuah majlis berbuka puasa minggu lalu membuktikan pelakon veteran itu bersedia untuk mencari jalan damai.

“Apa yang saya perhatikan Datuk Aziz sudah mula bertegur sapa ketika kami bertemu di sebuah majlis berbuka puasa baru-baru ini. Saya percaya ia adalah petanda yang baik ke arah menamatkan persengketaan.

“Lagipun, dia turut meminta maaf kepada kami atas kekecohan yang timbul ketika Karyawan menziarahinya di hospital pada bulan lalu,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Freddie berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri Yayasan Tabung Amanah Muhibah (TAMU) dan Karyawan kepada 15 artis veteran di sebuah hotel di sini, malam Selasa.

Kemelut antara mereka bermula selepas keahlian Aziz dipecat kerana mendakwa berlaku penyelewengan wang dalam persatuan itu pada 2008.

Ditanya mengenai perancangan untuk memujuk semula seniman legenda itu ke dalam Karyawan, Freddie berkata, ia masih berada pada peringkat perbincangan dan dijangka dilaksanakan secepat yang mungkin.

“Memang kita mahu Datuk Aziz menyertai Karyawan seperti yang dimaklumkan. Namun, kita masih mencari masa dan ruang yang sesuai untuk menjalankan perancangan itu. Mungkin selepas cuti raya kita boleh laksanakan jika tiada halangan,” katanya.

Mengenai majlis penyerahan sumbangan kepada artis veteran pada tahun ini, Freddie berkata pihaknya berbesar hati apabila dapat melaksanakan beberapa penganjuran majlis untuk 25 artis tersebut.

“Kalau diikutkan, kira-kira 25 artis veteran kita senaraikan untuk menerima sumbangan pada tahun ini. Memandangkan jumlahnya agak ramai, jadi kita pecah-pecahkan pada beberapa majlis berasingan.

“Pada malam ini (malam Selasa) sahaja, Karyawan bekerjasama dengan TAMU untuk memberikan sumbangan kepada 15 artis veteran yang kurang bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, Presiden TAMU, Senator Raja Datuk Ropiaah Raja Abdullah berkata, kerjasama mereka akan diteruskan dengan Karnival Chinta Muzik Selangor bermula 8 September depan.

Menerusi karnival itu, kempen jelajah yang berasaskan klinik muzik oleh pemuzik profesional akan diberikan kepada anak-anak muda yang meminati muzik.

“Sebagai permulaan, karnival ini akan diadakan di empat lokasi di Selangor antaranya Taman Medan dan Gombak. Kita sasarkan penyertaan belia seramai 1,500 orang untuk setiap lokasi.

“Belia yang berminat pada muzik boleh mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar pemuzik profesional tanah air menerusi klinik yang dianjurkan ini,” katanya.

Antara artis veteran yang menerima sumbangan adalah Latifah Omar, Kuswadinata, Limra, Zaiton Sameon, Hamid Gurkha, Aspalela Abdullah, Datin Paduka Julie Sudiro dan Samsudin Lamin.

Artikel Lain