suria

Hubungan Linda Hashim & Beego Semakin Rapat

Linda Hashim
Linda Hashim
Linda Hashim

PETALING JAYA: Pelakon Linda Hashim mengakui mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aktor Beego sejak kebelakangan ini, namun enggan mengulas status sebenar perhubungan mereka.

Linda berkata, persahabatan di antara dia dengan Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, sudah lama terjalin memandangkan mereka kerap bekerjasama dalam drama-drama yang dilakonkan sejak akhir-akhir ini.

"Saya selesa berkawan dengan dia dan kami dah lama kenal serta kerap berlakon bersama.

"Memandangkan dia adalah rakan saya, kami juga pernah keluar sama seperti teman-teman yang lain. Cuma diakui, sejak kebelakangan ini, hubungan kami lebih rapat.

"Bagaimanapun, saya enggan mengulas sama ada kami bercinta atau tidak. Kita lihat sahaja apa yang bakal berlaku nanti," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

Pada Ahad, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa Beego dan Linda dikaitkan menjalin hubungan cinta.

Kedua-dua mereka ditemui berpimpin tangan di sekitar Kota Damansara dekat sini dan gelagat pasangan tersebut dilihat begitu mesra.

Beego sebelum ini pernah dikaitkan dengan pelakon Rozita Che Wan.

Dalam pada itu, Linda yang baru sahaja selesai penggambaran telefilem Cinta Saedah bagi siaran TV3 itu turut mengakui bahawa hatinya sudah pun dimiliki, namun enggan mendedahkan siapakah lelaki bertuah itu.

Mengenai aktiviti di bulan Ramadan, tahun ini, Linda mengurangkan aktiviti lakonannya agar dapat menikmati ibadat puasa sebaik-baiknya selain dapat memenuhi undangan majlis berbuka.

Selain itu, Linda turut membantu kakaknya di butik “Erins n Erinas Sequiens” yang turut mengambil tempahan baju Hari Raya selain menghasilkan pelbagai rekaan pakaian untuk jenama fesyen sendiri.

"Sudah tiga tahun saya dan kakak menjalankan perniagaan tempahan baju di mana saya akan mereka pakaian yang diinginkan pelanggan dan ia akan dihantar ke tukang jahit kami. Kemudian kami juga akan menjahit manik pada baju yang ditempah tersebut," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain