suria

Sharifah Shahira Kerugian RM1,500, Rumah Dipecah Masuk

Sharifah Shahira
Sharifah Shahira
Sharifah Shahira

PETALING JAYA: Rumah pengacara dan pelakon Sharifah Shahira Syed Abu Bakar dipecah masuk pada malam Sabtu sehingga mengakibatkan kehilangan barang kemas yang bernilai RM1,500.

Harian Metro pada Isnin melaporkan, ketika kejadian itu, semua anaknya Allisya, 14, Airell, 8. Airra, 5, dan Auddra, 3, berada bersama pembantu rumah dan langsung tidak menyedari rumah mereka di Taman Melawati dekat sini dipecah masuk.

Pada malam itu, Shahira. 38, sedang berada di Miri, Sarawak manakala suaminya, Ijoy Azhari menghadiri majlis perkahwinan rakan.

“Saya sangat bersyukur kerana ketika kejadian, anak-anak tidak diapa-apakan. Malah mereka langsung tidak menyedari rumah kami sedang dirompak yang menyebabkan kehilangan barang kemas bernilai RM1,500,” katanya.

Shahira yang pulang bersama Ijoy pada pukul 2.30 pagi Ahad, mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas pintu bilik tidur gagal dibuka sedangkan ia tidak berkunci sebelum itu.

Menurutnya, suaminya keluar semula dan memanjat balkoni dari luar untuk masuk ke dalam bilik itu sebelum terkejut mendapati pintu itu terkopak dan baru meyedari kediaman mereka sudah dipecah masuk.

“Sebaik membuka pintu bilik tidur, kami membuat pemeriksaan dan mendapati barang kemas milik anak dan barang kemas yang dihadiahkan rakan ketika majlis cukur jambul sebelum ini lesap,” katanya.

Shahira berkata, dia dan suami memeriksa rakaman litar kamera tertutup (CCTV) dan mendapati kelibat seseorang memanjat balkoni rumahnya sebelum melarikan barangan kemas berkenaan.

“Malah, suspek turut membawa lari barangan kemas palsu yang digunakan untuk penggambaran. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ketika kejadian semua anak yang sedang menonton televisyen di tingkat bawah tidak diapa-apakan,” katanya.

Katanya, selepas ini dia akan meningkatkan tahap keselamatan kediamannya bagi mengelakkan kejadian itu berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, hasil rakaman CCTV pihaknya nampak seorang lelaki dipercayai warga tempatan memecah masuk rumah teres dua tingkat milik pasangan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain