suria

Perubahan Dalam Masa 100 Hari Tidak Cukup - KP Finas

Mohd Naguib Razak cadang sesi dialog terbuka dengan pihak industri perfileman bermula Januari depan. - Foto oleh RICKY LAI
Mohd Naguib Razak cadang sesi dialog terbuka dengan pihak industri perfileman bermula Januari depan. - Foto oleh RICKY LAI
Mohd Naguib Razak cadang sesi dialog terbuka dengan pihak industri perfileman bermula Januari depan. - Foto oleh RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Mohd Naguib Razak, 42, mengakui tempoh 100 hari menggalas jawatan itu adalah tidak cukup untuk melakukan perubahan drastik pada industri perfileman tempatan.

Sebaliknya, Mohd Naguib berkata tempoh itu telah dipergunakannya untuk lebih memahami dan mempelajari selok-belok operasi dan infrastruktur perbadanan itu serta melebarkan jaringan perniagaan bagi memperluaskan pasaran perfileman tempatan.

“Saya akui tempoh 100 hari sejak menggalas jawatan KP Finas ini tidak memadai untuk saya melakukan perubahan drastik pada industri perfileman kita sebagaimana yang diharapkan oleh banyak pihak.

“Sebaliknya, dalam tempoh itu saya lebih mempelajari dan memahami struktur dan operasi Finas dengan lebih mendalam, selain meluaskan jaringan perniagaan untuk pemasaran produk filem ke luar.

“Hakikatnya, walaupun saya sudah melakukan pengamatan dari luar sebelum menyertai Finas, keadaan itu tidak semudah yang disangka apabila saya sudah berada di kerusi ini,” katanya.

Mohd Naguib ditemui selepas sidang media Majlis Bicara Bersama Media Susulan 100 Hari Sebagai Ketua Pengarah Finas yang bertempat di Studio Mix Stage, Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang, di sini, Jumaat.

Mohd Naguib menambah, sokongan dan kerjasama yang baik daripada warga kerja perbadanan dan pihak kementerian bagaimanapun banyak melancarkan proses penyesuaiannya untuk melaksanakan tugas-tugas berkaitan dengan industri perfileman.

“Sejujurnya, saya berasa selesa dan gembira kerana bekerja dalam persekitaran yang baik serta mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada warga Finas mahupun pihak kementerian.

“Cuma, perubahan-perubahan yang saya janjikan untuk membawa industri ini ke satu tahap lebih tinggi dan antarabangsa itu memerlukan waktu yang panjang dan tidak boleh berlaku dalam tempoh sebulan dua,” katanya.

Pada majlis itu, graduan undang-undang dari Universiti Leeds, England ini turut mengalu-alukan penganjuran sesi dialog secara terbuka bersama pihak berkaitan bermula Januari depan bagi membincangkan sebarang keraguan atau kesangsian berkaitan Finas dan industri filem.

Sesi dialog tersebut yang dicadangkan berlangsung pada Jumaat dua kali sebulan itu dilihat akan menjadi platform terbaik untuk bertanya atau memberikan cadangan secara langsung dan telus.

“Sebelum ini, telah timbul pelbagai kesangsian dan spekulasi berkenaan pelbagai isu termasuk peranan Finas dan perkembangan kerja kami dalam memajukan industri ini.

“Saya percaya desas-desus atau keraguan ini timbul kerana saya tidak berkesempatan untuk mendekati media untuk berkongsi perkembangan positif industri.

“Justeru itu, saya berasa adalah penting untuk melaksanakan sesi dialog dengan sesiapa sahaja untuk berbincang dan berkongsi pandangan sama ada berkenaan pentadbiran badan ini mahupun pembangunan industri,” katanya.

Mohd Naguib dilantik sebagai KP Finas pada 1 September lalu bagi menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim.

Sebelum ini, Mohd Naguib yang berpengalaman dalam bidang dokumentari pernah menerbitkan empat filem dokumentari berjudul Anak Duyung, The Boatmaker & The Sea, Glass Enclosure: Tokyo Invisible dan Becoming A King: Inside The Coronation of The Agong.

Dia juga pernah bertugas sebagai pengarah dan penulis skrip di Astro Shaw serta menjadi Eksekutif Kanan, Unit Program di Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) selama setahun bermula 2005.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah Fatimah Ahmad (Pembangunan) dan Zulkifli Ab Wahab (Operasi - Kanan).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain