suria

Ayu Raudhah Pegang Watak Perosak Rumah Tangga

KUALA LUMPUR: Pelakon Ayu Raudhah bakal membawakan watak antagonis dalam telefilem berjudul Pabila Syaitan Berbisik yang akan ditayangkan pada 22 April ini, pukul 10.30 pagi, di TV1.

Dia yang cukup dikenali dengan watak lemah-lembut ini akan memainkan peranan seorang gadis kampung yang jahat dan lupa daratan bernama Julia.

Watak tersebut menjadikan Ayu sebagai seorang perosak rumah tangga orang lain demi mengejar kemewahan hidup.

Telefilem ini mengisahkan kehidupan Is dan Zulaikha yang bahagia sebagai suami isteri berubah dengan kehadiran Julia, anak kawan baik mereka iaitu Karim.

Julia yang sukakan kemewahan menjadi lupa diri apabila mendapat layanan istimewa daripada Is dan Zulaikha apabila Julia menetap dengan mereka di Phnom Penh, Kemboja.

Julia sanggup meninggalkan kekasihnya, Brain kerana perselisihan pendapat dan memandang hina lelaki tersebut kerana masih belum stabil daripada segi kewangan. Bagaimanapun, kebahagiaan Julia tidak lama apabila Is mati dan meninggalkan Julia yang baru dinikahinya seorang diri dalam keadaan mengandung. Pada masa itu Zulaikha telah pun pulang ke Malaysia untuk tinggal bersama Khalif kerana ingin mengubat hatinya yang luka atas perubatan Is dan Julia.

Julia masih angkuh dengan dirinya walaupun setelah kematian Is. Dia kembali ke Malaysia untuk tinggal bersama bapanya Karim tetapi sebaliknya bersikap kurang ajar dengan bapanya apabila disuruh meminta maaf dengan Zulaikha.

Setelah gagal dan tidak sefahaman dengan bapanya, Julia pergi menemui Brian untuk mendapat sokongan daripada Brian tetapi ditolak oleh Brian. Brian kini gembira dan bahagia bersama Tina.

Telefilem ini turut dibintangi oleh Datuk Jalaludin Hassan, Dian P.Ramlee, Remy Ishak, dan Hafizudin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain