suria

Misha Takut Berbicara Tentang 'Uda'

Misha melakonkan watak Dara dalam teater Muzikal Uda dan Dara yang akan dipentaskan pada 10 hingga 20 Julai ini di Istana Budaya. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN
Misha melakonkan watak Dara dalam teater Muzikal Uda dan Dara yang akan dipentaskan pada 10 hingga 20 Julai ini di Istana Budaya. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN
Misha melakonkan watak Dara dalam teater Muzikal Uda dan Dara yang akan dipentaskan pada 10 hingga 20 Julai ini di Istana Budaya. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN

WALAUPUN tampak seronok memadu kasih ketika melakonkan watak Dara, namun di alam realitinya penyanyi dan pelakon Misha Omar terkelu lidah bila berbicara soal 'Uda'nya.

Baginya, biarpun telah mengaku sudah menemui sang jejaka, namun mulutnya bagaikan terkunci tatkala ramai yang bertanya siapa gerangan lelaki itu.

Dia berkata, selagi belum tiba masa yang sesuai, selagi itulah dia tidak akan bercerita. Gusar sekiranya tidak menjadi.

Perasaan bersalah menghantui diri Misha memandangkan isyarat kompang belum berbunyi dan cukuplah dia mengatakan sudah berpunya.

“Saya tak nak cerita lebih-lebih sebab takut. Saya rasa lebih indah bila berita itu pasti dan bukti harus dikemukakan apabila cukup syarat,” katanya pada sidang media teater Muzikal Uda dan Dara di Istana Budaya semalam.

Teater arahan pengarah prolifik berpengalaman, Datuk Rahim Razali itu akan dipentaskan mulai 10 hingga 20 Julai ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Naskhah Muzikal Uda dan Dara merupakan karya ulung yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang pada tahun 1972.

Menyentuh tentang watak Dara yang dilakonkan oleh Misha dalam pementasan itu, penyanyi lagu Cinta Adam dan Hawa itu akui tanggungjawab yang digalasnya itu lebih berat berbanding jangkaan awalnya.

Namun dia menjadikan penyanyi dan pelakon Elly Mazlein sebagai contoh. Jika wanita itu boleh melakonkan watak wanita yang lemah-lembut dengan baik, jadi dia juga akan mencuba sedaya-upayanya.

Semangat itu dipegang oleh Misha sehingga dia mengibaratkan kepuasan berteater itu seperti ‘jatuh cinta pandang pertama’.

“Terus-terang, masa mula-mula dulu memang saya ada rasa give up, bukan disebabkan bayaran tetapi sebab perlu memaksa diri untuk melakukan perkara yang lebih daripada kemampuan diri. Lagipun saya bukanlah seorang yang semulajadi lemah-lembut.

“Pada mulanya saya agak keras untuk menari tetapi lama-kelamaan saya cuba juga dalam tempoh menjalani latihan selama dua minggu ini. Saya juga diberikan kebebasan oleh pengarah Datuk Rahim Razali untuk berlakon dalam teater ini.

“Setakat ini saya tidak menyesal untuk menerima tawaran teater,” ujarnya bersungguh-sungguh. Tambahnya: “Saya nak menjadi seorang seniman yang mampu melakukan banyak perkara dalam bidang seni. Nama saya sudah dikenali dalam industri muzik tempatan, jadi saya mahu menggunakan peluang ini untuk memikat penonton yang meminati seni teater pula.”

Muzikal Uda dan Dara, terbitan UA Enterprise Sdn Bhd merupakan sebuah kisah cinta tragis antara anak tani bernama Uda dan gadis berada bernama Dara. Cinta mereka terhalang disebabkan isu darjat, kuasa dan kasta.

Ia turut dibintangi oleh beberapa pelakon dan penyanyi terkenal lain iaitu Razali Hussain sebagai Uda, Umi Kalsom (Ibu Uda), Betty Banafe (Ibu Dara), Mazlan Tahir (Alang Bakhil), Rosdeen Suboh (Uteh) dan Radhi Khalid (Pak Long).

Tiket berharga RM35, RM70, RM105, RM140, RM170 dan RM190 boleh didapati di kaunter wakil jualan ticket2u, layari laman web ticket2u.biz atau hubungi talian 03-41498600.

Artikel Lain