suria

Yuna Berat Hati Tinggalkan Malaysia 3 Bulan

Yuna bakal melebarkan muziknya ke bumi Amerika Syarikat.
Yuna bakal melebarkan muziknya ke bumi Amerika Syarikat.
Yuna bakal melebarkan muziknya ke bumi Amerika Syarikat.

KEMUNCULANNYA yang mempertaruhkan melodi indah, segar dan unik membuatkan penyanyi dan komposer ini mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air.

Dan selepas dilamar syarikat rakaman dari Amerika Syarikat beberapa bulan lalu, Yuna atau Yunalis Zarai ketika ditemui mStar Online mengesahkan yang dia telah menerima lamaran tersebut dan kini sibuk dengan persiapan untuk berangkat ke negara itu.

Namun ketika sedang menghitung hari untuk memperjuangkan muzik dan lagunya di bumi Amerika Syarikat itu, Yuna sempat menyuarakan perasaannya yang bercampur baur untuk ke sana.

"Sekarang saya tengah sibuk dengan persiapan untuk berangkat ke sana. Tapi terasa berat hati mahu tinggalkan negara sendiri.

"Saya rasa masih tidak menyumbangkan sesuatu kepada negara sendiri. Tapi selepas saya mendapat tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-24, saya rasa seperti lebih bersedia untuk ke sana," kata Yuna, yang bakal menetap selama tiga bulan di Los Angeles.

Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, peluang yang datang kepadanya seperti satu tuah kerana tidak menyangka bidang yang hanya berlandaskan minat itu telah menjadi penanda aras untuk melangkah lebih jauh.

"Saya rasa teruja dengan tawaran daripada syarikat pengurusan artis (company label) itu kerana sanggup memberi peluang kepada saya.

"Secara jujurnya, pada mulanya saya tidak mengetahui perkara ini, ibu saya yang terbaca satu komen di internet dan memberitahu perkara tersebut dan dia kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk saya terima tawaran itu.

"Berkali-kali saya fikirkan sebelum membuat keputusan untuk terima tawaran itu, akhirnya saya nekad menerima dan berhubung dengan syarikat tersebut," katanya yang akan berangkat ke Amerika Syarikat awal Mac depan.

Menurut lulusan undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, persembahan sulungnya yang diuruskan oleh syarikat tersebut adalah di Music Festival South By Southwest, Texas hujung Mac depan.

"Di sana nanti, saya telah dijanjikan untuk mengadakan beberapa persembahan selain diperkenalkan kepada pemuzik di sana serta lagu-lagu mereka," katanya yang sedang menyiapkan beberapa buah lagu untuk dimuatkan ke dalam album barunya.

Ditanya mengenai lagu-lagu yang akan dinyanyikan di sana, Yuna dengan perasaan teruja memberitahu dia sebolehnya mahu mendendangkan kesemua lagunya selain mempromosikan muzik yang dibawanya.

"Kalau boleh saya mahu menyanyi semua lagu, tapi disebabkan saya hanya tiga bulan di sana, rasanya beberapa buah lagu sudah cukup.

"Saya di sana tidak lebih seperti membuat lawatan sambil belajar dan pemerhatian," ujarnya sambil ketawa.

Sebelum berangkat ke Los Angeles, Yuna yang bakal bergandingan dengan Najwa di konsert Malam Nada Biru pada 27 dan 28 Febuari ini mengakui dirinya kini seperti dikejar masa kerana ingin menyiapkan kesemua tugasannya sebelum meninggalkan bumi Malaysia.

"Banyak perkara yang ingin diuruskan termasuk persiapan diri, lagu-lagu saya serta urusan kerja di sini," katanya yang akan ditemani pengurus peribadinya, Wawa, di Los Angeles nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain