suria

'Maaf jika saya bersalah' - Lisa Surihani

MENGENALI aktres muda ini, tidak dinafikan dia adalah seorang yang cukup peramah. Malah, ramai produser juga akui cukup senang bekerja dengan pelakon berusia 23 tahun ini kerana sikap profesionalnya.

Namun, tatkala karier seninya sedang menuju ke puncak, Lisa Surihani akui sedikit terguris bila timbulnya dakwaan yang mengatakan dia sudah mula berlagak.

Tutur pelakon ini, dia sendiri agak terkejut apabila membaca tentang kisah itu di dalam sebuah akhbar baru-baru ini, sedangkan hakikatnya, dia seboleh mungkin tidak pernah 'mengabaikan' peminat-peminat atau pun tetamu lain andai kata bertemu di mana-mana majlis.

Kata Lisa, dia sedar tahap yang dikecapinya sehingga hari ini banyak dibantu oleh peminat. Tidak mungkin segala sokongan yang dicurahkan kepadanya selama ini diambil lewa oleh dirinya.

"Sejujurnya, saya terkejut dan agak keliru sebenarnya bila timbul cerita seperti ini. Di dalam cerita tersebut, saya dikatakan berlagak dan seperti malas layan peminat ketika berada di satu majlis hari raya.

"Malah, saya juga dikatakan telah mengecilkan hati orang kuat sebuah produk kosmetik kerana sikap tidak mesra saya. Rasanya, biarlah saya perbetulkan tentang perkara ini.

"Baru-baru ini, saya menghadiri dua buah majlis hari raya pada hari yang sama. Jadi, saya tidak nafikan, mungkin agak penat sedikit kerana pergi ke dua buah majlis.

"Tetapi, setahu saya, tidak pula saya 'kekwat' atau tidak layan orang lain ketika di sana. Dan saya sendiri tidak pasti di majlis yang mana satu saya dilihat tidak 'mesra'.

"Rasanya, saya tidak pula diperkenalkan dengan mana-mana wakil produk kecantikan ketika di mana-mana majlis itu.

"Selama ini, sepenat mana pun saya, tetap saya akan cuba melayan dan menegur peminat serta tetamu di mana-mana majlis yang saya hadiri," kata Lisa dalam nada perlahan.

Kata pelakon yang sedang sibuk menjalani penggambaran Mertua VS Menantu musim kedua ini, mereka yang mengenali peribadinya yang sebenar akan tahu sama ada dia adalah orang seperti yang dikatakan atau tidak.

"Bukan ingin mengangkat diri sendiri, tetapi hakikatnya, saya memang seorang yang peramah. Cuma mungkin jika ada masanya saya tidak tersenyum, itu mungkin menandakan saya sedang letih.

"Tetapi, saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat tentang perkara ini. Lagipun, saya sedar, berada dalam industri ini, saya memang akan terdedah dengan kisah-kisah seperti ini.

"Apapun, saya masih 'hijau' dalam bidang ini. Masih banyak perkara yang mungkin akan saya lalui kelak. Dan ini pula adalah kali pertama saya 'kena' macam ni.

"Cuma saya harap, ia tidak memberi kesan kepada perjalan karier saya," ujar pemenang anugerah Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-21 ini.

Menurut Lisa lagi, dia sendiri sudah menjelaskan kepada peminat-peminatnya di laman web Facebook agar mereka tidak salah anggap terhadap dirinya.

"Apapun, maaf jika saya bersalah. Alhamdulillah, respon yang saya dapat setakat ini amat positif. Dan saya sendiri akan cuba perbaiki kekurangan diri dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain