suria

Lagu terakhir Michael Jackson diputarkan

LAGU terbaru dan merupakan yang terakhir daripada Michael Jackson (MJ), This Is It, mula diputarkan di radio-radio buat pertama kalinya pada 12 Oktober, hampir empat bulan setelah dia meninggal dunia.

Lagu yang juga mempunyai judul yang sama seperti konsertnya yang tidak sempat dibuat oleh MJ itu dihantar ke stesen-stesen radio dengan dikawal ketat dan hanya boleh diputarkan bermula pukul 7.30 pagi (waktu di London).

Lagu itu akan dimuatkan di dalam album yang juga berjudul This Is It. Album itu turut mengandungi lagu-lagu yang akan ditampilkan di dalam filem dokumentari Raja Pop itu dan akan mula dijual pada 26 Oktober, seiring dengan tayangan filem itu di seluruh dunia.

Cakera padat (CD) pertama di dalam album itu mengandungi lagu-lagu popular MJ sebelum ini, disusun mengikut kemunculan lagu-lagu itu di dalam filem tersebut dan akan diakhiri dengan dua versi lagu This Is It.

CD kedua dalam album itu pula akan memuatkan versi lagu-lagu klasik penyanyi itu yang tidak pernah dimainkan serta sebuah puisi yang menyentuh hati berjudul Planet Earth.

"Lagu ini sekali lagi memberi maksud apa yang dunia sudah tahu - iaitu bahawa Michael adalah satu hadiah terhebat daripada tuhan," kata penerbit bersama album tersebut, John McClain, mengenai lagu baru itu.

Artikel Lain