suria

Fouziah: Saya dan Iqram orang yang membosankan!

Fouziah akui lebih 'tenang' tanpa kontroversi - foto THE STAR oleh YAP CHEE HONG
Fouziah akui lebih 'tenang' tanpa kontroversi - foto THE STAR oleh YAP CHEE HONG
Fouziah akui lebih 'tenang' tanpa kontroversi - foto THE STAR oleh YAP CHEE HONG

GADIS berusia 26 tahun ini akui sudah penat dengan kontroversi. Luah tuan empunya diri, dia berasa agak 'tenang' ketika ini setelah melihat cerita-cerita 'panas' mengenainya sudah berkurangan.

Tutur pemilik nama Fouziah Gous ini, jika boleh, dia tidak mahu lagi bergelumang dengan kisah-kisah kontroversi. Cukup penat untuk dirinya menjawab satu persatu persoalan yang dibangkitkan gara-gara semua cerita tersebut.

Memang benar bak kata Fouziah, gosip liar tentang dirinya sudah tidak didengari lagi. Kali terakhir kisah kurang enak tentangnya yang hangat diperkatakan ialah mengenai hubungan 'cover line' yang terjalin dengan aktor Iqram Dinzly. Macam-macam versi cerita yang timbul gara-gara melihat keintiman dua bintang muda ini.

Ada yang merasakan hubungan intim itu sekadar untuk mengaburi mata ramai disebabkan 'sesuatu' dan ada juga yang berpendapat itu adalah salah satu cara mereka meraih publisiti murahan.

Sudah jelak juga kedua-duanya memberikan kenyataan menafikan tentang hubungan baik mereka yang sebenarnya terjalin atas dasar persahabatan. Dan sememangnya isu itu masih lagi diperkatakan sehingga hari ini, cuma ia tidak lagi 'sepanas' dulu.

Malah, kata anak jati Kuala Lumpur ini, dia sudah tidak mahu ambil pusing lagi meskipun hal itu tetap menjadi 'mainan' ramai. Apa yang penting, selagi semua itu tidak menjejaskan periuk nasinya, dia akan terus 'buat bodoh' dengan tanggapan ramai.

"Pada awal dulu, saya dan Iqram selalu berfikir, mengapa orang seolah-olah tidak suka lihat kami berkawan. Sudah empat tahun kami berkawan baik dan bila benda macam ni berlaku, adakalanya memang membangkitkan kemarahan juga.

"Kadang-kadang sedih bila melihat orang bercakap macam-macam tentang saya...tentang Iqram, apatah lagi saya cukup rapat dengannya sehinggakan keluarga saya juga sudah mengenali Iqram.

"Mungkin juga sebenarnya tidak ada benda apa untuk diperkatakan tentang kami. Saya rasa saya adalah seorang yang membosankan. Dan begitu juga yang saya rasakan tentang Iqram. Apa yang saya maksudkan tentang 'bosan' di sini ialah kerana kami tidak ada banyak perkara untuk orang perkatakan.

"Dan disebabkan kami dilihat selalu bersama, jadi dari situlah orang timbulkan kisah-kisah macam ini. Tetapi memandangkan sekarang ini kami pun sudah jarang keluar bersama, jadi perkara ini juga sudah semakin 'surut'," kata Fouziah.

Ujar anak bongsu daripada lima beradik ini, tatkala kisah hubungan 'cover line' itu hangat diperkatakan, dia dan Iqram pernah terfikir untuk mengurangkan 'keakraban' yang terjalin bagi meredakan isu itu.

"Dalam industri ini, Iqram adalah sahabat saya yang paling rapat. Secara kebetulan pula kawan karib saya adalah lelaki, jadi mungkin itu menjadi isu buat sesetengah orang.

"Dan sebagai kawan baik, tidak salah jika kami sering dilihat bersama di mana-mana majlis. Sebab itu saya rasakan sebenarnya tidak patut timbul isu-isu 'cover line' sebab sesuatu la atau macam-macam lagi. Lagipun, mereka tidak mempunyai bukti apa-apa," kata Fouziah.

Teringin melangkah ke bidang teater

Beralih kepada perkembangan karier seninya, kata Fouziah, ketika ini dia sedang di dalam penggambaran drama bersiri Otai arahan Prof Razak Mohaideen. Selepas ini, pelakon yang pernah membintangi filem Malaikat Maut, Sifu dan Tongga dan Rasukan Ablasa ini akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri, Lipstik bersama Nasha Aziz untuk siaran Astro Prima.

Kata Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007 ini, dia bersyukur kerana meskipun negara sedang menghadapi krisis ekonomi, rezekinya di dalam bidang ini masih tidak terjejas.

"Mula-mula takut juga dengan keadaan ekonomi sekarang...takut terjejas juga tawaran berlakon. Tapi alhamdulillah, tawaran memang masih lagi saya terima. Ada juga tawaran berlakon filem, tetapi buat masa ini semuanya masih dalam perbincangan," kata Fouziah.

Menurutnya lagi, setelah lebih tiga tahun bergiat di dalam bidang ini, dia akui graf prestasinya juga sudah meningkat.

"Nak kata saya sudah 'confident' tu, mungkin masih jauh lagi perjalanan saya. Tetapi saya akui graf semakin meningkat, tidak seperti di awal-awal pembabitan saya sebagai pelakon.

"Watak-watak yang saya bawakan juga sudah banyak menunjukkan variasi. Itulah yang saya mahukan, tidak mahu asyik watak yang sama saja," katanya.

Jelas Fouziah lagi, dia juga mempunyai perancangan untuk membawa karier lakonannya maju setapak lagi, sebagai contoh melangkah ke bidang teater pula.

Namun begitu, buat masa ini, impian itu perlu disimpan dahulu kerana jadual dan masa yang tidak menentu.

"Memang saya pernah dapat tawaran berlakon teater sebelum ini, salah satunya untuk teater Ibu Zain. Tapi, saya tidak boleh terima begitu saja. Dengan jadual lakonan saya yang agak padat buat masa ini, sukar untuk saya bahagikan masa andai kata saya menerima juga tawaran teater.

"Sebab itu saya terpaksa ketepikan dulu hasrat tersebut. Saya akui, memang berlakon teater adalah salah satu cita-cita saya. Walaupun saya tidak pernah ada pengalaman dalam teater, tapi saya sanggup untuk mencuba.

"Tapi sayangnya, masa tidak mengizinkan buat masa ini. Insya-Allah, jika berpeluang pada satu ketika kelak, saya pasti akan mencuba," kata Fouziah dalam nada ceria.

Artikel Lain