suria

FFM 22 di Sabah sasar lahir ramai pecinta filem tempatan

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika melancarkan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 sambil diperhatikan oleh Pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim di Hulu Klang, petang tadi. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika melancarkan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 sambil diperhatikan oleh Pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim di Hulu Klang, petang tadi. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika melancarkan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 sambil diperhatikan oleh Pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim di Hulu Klang, petang tadi. -foto The Star oleh DARRAN TAN

[SEMASA] HULU KLANG: Mampukah Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 yang akan dianjurkan di Kota Kinabalu, Sabah mencapai sasaran mereka untuk melahirkan ramai pecinta filem tempatan?

Ini kerana Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata pemilihan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu dibuat untuk memperbanyak dan memperluaskan lagi pasaran dan jumlah penonton di sana.

“Saya percaya dan yakin dengan peluang ini, rakyat Sabah akan mendapat manfaat dan faedah yang amat besar apabila festival ini diadakan di Sabah.

“Ianya bukan sahaja dapat memberi peluang kepada orang ramai menonton filem secara percuma, mengikuti bengkel penulisan skrip dan simposium anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), memperkenalkan keunikan produk pelancongan yang boleh dimanfaatkan oleh penerbit dan karyawan filem.

“Tambahan pula, tempat di Sabah agak menarik dan cantik untuk mengajak pelancong berkunjung ke sana. Jadi, ia juga sebagai usaha untuk menjana pendapatan.

“Kita boleh melihat rakyat di sana memupuk intipati budaya di mana mereka bukan sahaja mengenali pelakon dan filem di layar skrin sahaja tetapi lebih dekat lagi apabila kita bawa festival itu ke situ.

“Misalnya, rakyat di situ boleh mempelajari cara menulis skrip menerusi bengkel yang diadakan selama lima hari itu.

“Jadi, kita juga boleh mencungkil bakat baru di dalam industri hiburan,” ujar Shafie ketika majlis pelancaran dan sidang media FFM 22 Kota Kinabalu 2009, di Dataran Karyawan, Kompleks Finas, di sini, semalam.

FFM 22 mulai 5 hingga 8 Ogos ini merupakan julung kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia sejak dianjurkan pada 1980.

Kali ini, ia dianjurkan oleh Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Finas dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Dimaklumkan, FFM 22 bakal diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sekitar bandar Kota Kinabalu.

Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir adalah Yang Dipertua Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abd. Razak, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Dalam masa yang sama, Shafie turut meuar-uarkan tema FFM 22 iaitu ‘Filem Malaysia Ke Persada Dunia’.

“Ia menuntut para pengkarya agar lebih kreatif, dinamik dan progresif dalam menerbitkan filem-filem yang berkualiti serta berorientasikan pasaran tanpa mengenepikan aspek estetika, budaya dan jati diri bangsa.

“Adalah menjadi harapan kementerian agar penerbit filem-filem buatan Malaysia akan dapat dipasarkan secara konsisten dan diterima di peringkat antarabangsa.

“Para penerbit seharusnya memperkasakan aspek kandungan atau penceritaan sesebuah filem dan berani meneroka pasaran antarabangsa.

“Oleh itu, kerajaan bukan sahaja memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta sebagai kemudahan kepada mereka yang terlibat dalam industri seni, malah kami juga akan berusaha membawa filem tempatan ke festival filem di Cannes, Perancis dan Berlin, Jerman.

“Saya telah berbincang dengan pihak Bank SME untuk meluluskan pinjaman dan mereka akan cuba mengusahakannya pada tahun ini.

“Tetapi, filem kita perlu menunjukkan kualiti dari segi keunikan, tempat dan budayanya,” ulas Shafie panjang lebar.

Selain mengekalkan 13 Anugerah Perdana, FFM22 mewujudkan kategori baru iaitu Filem Komedi Terbaik di bawah Anugerah Cipta lalu menjadikan 12 Anugerah Cipta yang dipertandingkan.

“Anugerah ini sebagai pembaharuan yang dibuat oleh pihak terbabit bagi mempertingkatkan mutu filem tempatan.

“Selain itu, anugerah itu secara tidak langsung bagi mengiktiraf karya filem komedi yang semakin mendapat tempat di hati penonton filem Malaysia,” katanya mengenai festival yang turut mempertandingkan lima kategori iaitu Filem Cereka, Filem Dokumentari, Filem Animasi, Filem Pendek dan Filem Digital.

Di samping itu, lima Anugerah Juri turut diberikan menerusi Anugerah Veteran (Lelaki/ Wanita), Anugerah Belakang Tabir dan Anugerah Filem Box-Office.

Sebanyak 20 filem yang layak bertanding. Antaranya, filem Geng: Pengembaraan Bermula, Cicakman 2: Planet Hitam, Jangan Tegur, Senario The Movie: Episode 1, Maut, Kami The Movie, Sifu & Tongga, Talentime dan Los dan Faun.

Hadir sama pada majlis sidang media itu adalah Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FFM 22, Presiden Gafim, Ahmad Puad Onah, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim dan Ketua Setiausaha KPKKW, Datuk Dr. Muzahet Masruri.

Artikel Lain