suria

Lebih lima dekad berbakti, Lee Soon Jae terima pengiktirafan tertinggi selepas meninggal dunia

Joon Jae menjadi pelakon tertua yang masih aktif dalam dunia lakonan.

PEMERGIAN pelakon veteran, Lee Soon Jae pada Rabu lalu meninggalkan kesan begitu besar sehingga kerajaan Korea Selatan menganugerahkan Pingat Budaya Mahkota Emas secara anumerta (selepas mati).

Menurut laporan News1, kerajaan mengiktiraf sumbangan luar biasa Soon Jae dalam perkembangan budaya popular serta usahanya memperkayakan hiburan untuk rakyat sepanjang lebih setengah abad. 

Pada hari pemergiannya, keluarga mendiang menerima Pingat Budaya Mahkota Emas (Kelas Pertama) iaitu penganugerahan tertinggi dalam kategori tersebut. Ia diberikan kepada individu yang memberi impak besar terhadap dunia seni dan budaya.

Joon Jae raih anugerah daripada kerajaan Korea Selatan.

Sebelum ini, mendiang pernah menerima Pingat Mahkota Perak pada Anugerah Kebudayaan dan Seni Popular Korea 2018. 

Kali terakhir seorang pelakon dinaikkan ke kelas Mahkota Emas adalah Youn Yuh Jung pada 2021 dan Lee Jung Jae pada 2022.

Soon Jae memulakan perjalanan seninya pada 1956 menerusi teater Beyond the Horizon. 

Sejak itu, beliau mengukir kerjaya gemilang lebih 50 tahun dan kekal aktif sebagai pelakon tertua dalam industri di Korea Selatan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon tertua Korea Selatan Lee Soon Jae meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Song Young Kyu ditemui meninggal dunia dalam kereta, dakwa alami tekanan emosi akibat komen negatif netizen

Dengan lebih 140 karya merangkumi drama, teater, rancangan hiburan hingga sitkom, mendiang dikenali sebagai figura yang penuh dedikasi, versatil dan sentiasa dekat di hati generasi muda mahupun lama.

Kerajaan Korea Selatan menegaskan legasi Soon Jae meninggalkan kesan mendalam kepada dunia seni dan masyarakat. 

Pada 25 November, Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Choi Hwi Young menyampaikan pingat Mahkota Emas itu kepada keluarga mendiang sebagai penghormatan negara.

Kementerian turut menyatakan perjalanan seni dan sumbangan mendiang akan terus dikenang rakyat Korea Selatan, bukan sahaja kerana karya yang ditinggalkan, tetapi perjuangannya dalam dunia seni.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia