suria

Justin Bieber batal konsert jelajah dunia, penganjur maklum persembahan di KL masih mengikut jadual

Bieber sekali lagi umum rehat disebabkan masalah kesihatan.

PENYANYI Justin Bieber sekali lagi membatalkan konsert jelajah dunia, JusticeTour ekoran masalah kesihatan yang sedang dialaminya.

Berkongsi mengenai pembatalan konsert jelajah berkenaan, Justin memberitahu dia mula berasa penat selepas mengadakan persembahan di Rio de Janeiro minggu lalu.

"Ketika mengadakan persembahan di Rock in Brazil saya cuba memberikan persembahan yang terbaik buat penonton.

bieber 1

Bieber sebelum ini berkongsi masalah kesihatan yang dialami.

"Selepas persembahan tamat, saya mula rasa penat. Saya sedar bahawa masalah kesihatan perlu diutamakan ketika ini. Jadi saya akan berehat daripada mengadakah konsert jelajah buat seketika.

"Saya akan kembali sihat namun perlu berehat untuk pulih sepenuhnya," katanya.

Penyanyi lagu Baby itu sebelum ini pernah membatalkan beberapa siri konsert jelajah dunia selepas mendedahkan dia mengalami lumpuh separuh wajah akibat penyakit dikenali sindrom Ramsay Hunt.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Justin Bieber lumpuh sebelah muka akibat diserang virus, terpaksa batalkan konsert terdekat

"Saya sebelum ini memberitahu tentang masalah sindrom Ramsay Hunt yang menyebabkan sebahagian wajah saya lumpuh dan disebabkan itu saya tidak boleh mengadakan persembahan.

"Selepas berehat dan mendapat nasihat doktor dan pihak pengurusan, saya kembali ke Eropah dan mengadakan persembahan di enam lokasi. Ia telah memberi kesan kepada saya," jelasnya.

Sementara itu, perkhabaran terbaharu itu membuat peminat terutamanya di Malaysia berasa kecewa dan tertanya-tanya sama ada konsert Justin di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Oktober depan turut dibatalkan.

Saya sedar bahawa masalah kesihatan perlu diutamakan ketika ini. Jadi saya akan berehat daripada mengadakah konsert jelajah buat seketika.

JUSTIN BIEBER

PENYANYI

Bagaimanapun peminat boleh menarik nafas lega, apabila penganjur konsert tersebut, PR Worldwide Sdn Bhd memaklumkan konsert Justin di beberapa lokasi di Asia termasuk Kuala Lumpur masih mengikut jadual

"Kami berharap Justin akan segera sihat dan menghormati keputusannya untuk berehat dan tidak sabar untuk melihatnya kembali di atas pentas.

"Konsert jelajah di Asia akan diteruskan mengikut jadual," kata agensi itu menerusi kenyataan di Instagram.

Tiket menyaksikan konsert itu di Kuala Lumpur yang dijual pada Mac lalu habis terjual dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Selain Malaysia, Justin turut mengumumkan konsert di tiga negara Asia lain iaitu Jakarta, Indonesia dan dua persembahan di Jepun iaitu Osaka dan Tokyo.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain