suria

Dakwa juri ditukar, Amber Heard mohon kes fitnah dibicarakan semula

Kes saman fitnah Heard dan Depp belum berkesudahan.

ISU saman fitnah antara pelakon Johnny Depp dan bekas isterinya Amber Heard bagaikan tiada kesudahan apabila, aktres itu membuat permohonan untuk perbicaraan semula.

Peguam kepada Heard membuat tindakan tersebut kerana mendapati salah seorang juri yang hadir dalam perbicaraan sebelum ini bukanlah dalam kalangan senarai awal yang telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Wakil Heard mendakwa juri nombor 15 sepatutnya seorang yang lahir pada tahun 1970, namun individu yang hadir ke mahkamah dilahirkan pada 1945 dan mempunyai nama sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Amber Heard kesal dianggap berbohong, dibenci netizen selepas gagal saman fitnah

“Juri nombor 15 bukan individu yang dipanggil pada 11 April, justeru dia bukan sebahagian daripada panel dan tidak boleh menjalankan tugas ketika perbicaraan.

“Berikutan itu, satu kekhilafan perbicaraan harus diisytihar dan perbicaraan baharu wajar diperintahkan.” jelas tuntutan tersebut.

Menurut laporan CNN, wakil kepada Depp diminta memberi maklum balas terhadap permohonan tersebut dalam tempoh 30 hari selepas ia dibuat pada 8 Julai.

Actor Amber Heard arrives at Fairfax County Circuit Court during a defamation case against her by ex-husband, actor Johnny Depp, in Fairfax, Virginia, U.S., May 4, 2022. REUTERS/Elizabeth Frantz/Pool

Heard mahu perbicaraan dilakukan semula.

Dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah di Faifax, Virginia mendapati Heard membuat fitnah mengenai dakwaan dia didera oleh Depp.

Juri turut memutuskan pelakon Pirates of the Caribbean itu dibayar ganti rugi AS$15 juta (kira-kira RM65 juta).

Jumlah itu kemudian dikurangkan kepada AS$10.35 juta (kira-kira RM45 juta) sejajar dengan had punitif yang dibenarkan undang-undang di negeri itu.

Tujuh juri yang mendengar perbicaraan itu mendapati bahawa artikel ditulis Heard pada 2018 mengenai dakwaan keganasan seksual adalah fitnah dan berniat jahat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain