suria

5 filem Reza Rahadian yang wajib ditonton! Pasti para gadis akan tersenyum...

Reza Rahadian sudah membintangi lebih 40 buah filem.

NAMA pelakon Indonesia, Reza Rahadian tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan dia juga mempunyai kelompok peminat yang besar di Malaysia selain di tanah kelahirannya.

Mula mencipta nama sejak tahun 2004, Reza atau nama sebenarnya, Reza Rahadian Matulessy sudah membintangi lebih daripada 40 buah filem setakat ini.

Berilah apa sahaja watak kepada Reza, pasti dia akan dapat merealisasikannya sebaik mungkin.

Malah jejaka berusia 34 tahun ini juga pernah memenangi beberapa kali trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Habibie & Ainun dan My Stupid Boss.

Sepanjang hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia perfileman Indonesia, Reza sudah melakonkan filem daripada pelbagai genre antaranya berdasarkan kisah sejarah Indonesia, komedi serta romantik.

Di sini mStar kongsikan lima filem lakonan Reza Rahadian yang tidak rugi untuk ditonton!

Toko Barang Mantan

1. Toko Barang Mantan (2020)

Filem ini mengisahkan tentang Tristan lakonan Reza yang mempunyai prinsip tersendiri dalam menjalinkan hubungan cinta.

Dia cuba merebut kembali cinta bekas teman wanitanya, Laras (Marsha Timothy) yang kebetulan datang ke kedai miliknya, Toko Barang Mantan untuk menjual cincin yang diberikan oleh bekas tunangnya.

Toko Barang Mantan merupakan kedai hasil usaha Tristan yang menjual barang-barang terpakai pemberian oleh bekas kekasih para pelanggannya.

Ia ditubuhkan bagi memberi peluang untuk pelanggannya 'move on' daripada kisah cinta tidak kesampaian dengan 'membuang' kenangan lama mereka menerusi jualan barang kepada Toko Barang Mantan.

Mampukah Tristan merebut kembali cinta Laras? Jangan lupa untuk saksikan filem arahan Viva Westi ini untuk ketahui jawapannya.

Critical Eleven

2. Critical Eleven (2017)

Menerusi filem bergenre romantik ini, Reza digandingkan dengan aktres popular, Adinia Wirasti.

Ale lakonan Reza dan Anya (Adinia) berhijrah ke New York, Amerika Syarikat bagi memulakan kehidupan baharu sebagai pasangan suami isteri.

Pelbagai konflik muncul sehingga mereka mula mempersoalkan tentang sedalam mana cinta di antara satu sama lain.

Mampukah Ale dan Anya mempertahankan rumah tangga mereka... jangan lupa saksikan Critical Eleven yang mendapat rating tinggi daripada IMDb iaitu sebanyak 7.3/10.

My Stupid Boss

3. My Stupid Boss (2016)

Secara peribadi penulis menyukai lakonan Reza dalam My Stupid Boss. Siapa sangka jejaka berwajah tampan seperti Reza boleh bertukar menjadi bos yang menjengkelkan apabila disolek hingga kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya selain berpenampilan buncit dan berambut botak di bahagian tengah.

Digandingkan bersama Bunga Citra Lestari serta dua pelakon terkenal Malaysia iaitu Bront Palarae, Chew Kin Wah dan Atikah Suhaime, Reza melakonkan watak sebagai Bossman yang cukup kedekut dan berkira dengan pekerja-pekerjanya.

Pelbagai masalah timbul disebabkan sikap kedekut Bossman yang terpaksa dihadapi oleh staf bawahannya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Kapan Kahwin

4. Kapan Kahwin (2015)

Kapan Kahwin merupakan filem bergenre komedi romantik mengisahkan tentang Satryo (Reza) yang diupah oleh Dinda (Adinia Wirasti) untuk menyamar menjadi teman lelakinya.

Dinda terpaksa mengambil keputusan seperti itu kerana bosan sering ditanya tentang jodoh oleh ibu bapanya.

Daripada berlakon, akhirnya Satryo mula menyedari lama-kelamaan dia semakin mesra dan selesa dengan Dinda. Adakah kisah cinta mereka dapat direalisasikan? Jangan lupa menonton Kapan Kahwin yang kini ditayangkan di saluran berbayar Netflix.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

5. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (2013)

Filem ini merupakan garapan daripada novel terkenal karya Hamka yang menggunakan judul sama, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Menerusi naskhah ini, Reza melakonkan watak antagonis bernama Aziz yang merampas cinta Hayati (Pevita Pearce) daripada kekasihnya, Zainuddin (Herjunot Ali).

Filem arahan Sunil Soraya ini turut mendapat rating tinggi daripada IMDb iaitu sebanyak 7.6/10.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck juga menjadi antara filem yang menjadi fenomena di Indonesia pada tahun 2013.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain