Raffi Ahmad terima layanan buruk kerana berwajah Asia, disangka pembawa koronavirus

Raffi dan keluarga tetap meneruskan percutian meskipun dilanda musibah.

PERCUTIAN yang sepatutnya menjadi momen indah buat pelakon Raffi Ahmad dan isteri Nagita Slavina bertukar menjadi mimpi ngeri apabila bagasi yang dibawanya hilang dan dia menerima layanan kurang baik gara-gara berwajah Asia.

Menurut laporan Tribunnews, kejadian itu berlaku selepas mereka mendarat di salah sebuah lapangan terbang antarabangsa di Turki.

Menerusi Instastory, Raffi berkongsi mengenai musibah yang berlaku dan memberitahu menghabiskan masa selama dua jam di balai polis.

"Kita baru sampai di sini dah kena ke balai polis... sudah dua jam lebih ya, ke balai polis dan sudah buat laporan," katanya yang masih belum menemui barangan peribadinya itu.

Dalam pada itu, Raffi juga berkata dia menerima layanan kurang baik daripada penduduk setempat berikutan kebimbangan mereka terhadap jangkitan koronavirus.

Raffi berkongsi mengenai kehilangan bagasinya di Instastory.

Ujarnya, ada yang menyangka dia merupakan pelancong berasal dari China.

"Seperti semalam, kita terus ke Marrakesh... sedih sangat semua orang tutup mulut di lapangan terbang kerana ada koronavirus.

"Isteri pula berkulit putih, begitu juga saya jika tiada janggut, jadi (dipanggil) 'corona man corona man'. Mereka seperti mengambil video dan gambar kita," katanya yang terpaksa memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka berasal dari Indonesia.

Raffi berkongsi mengenai layanan buruk itu di laman Youtube Rans Entertainment pada Khamis lalu.

Raffi Ahmad, Nagita Slavina

Artikel Lain