“Dia sudah boleh 'curhat', pandai bergosip” - Dian Sastrowardoyo syukur anak hidap autisme sudah sembuh - Bintang Global | mStar

“Dia sudah boleh 'curhat', pandai bergosip” - Dian Sastrowardoyo syukur anak hidap autisme sudah sembuh

Dian Sastrowardoyo bersyukur anak sulungnya yang mengidap autisme menunjukkan perkembangan sihat.

TAHAP kesihatan anak kepada pelakon Dian Sastrowardoyo iaitu Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo yang mengidap autisme kini dilaporkan semakin baik.

Menurut laporan Liputan6, Dian berkata Shailendra yang telah menjalani beberapa terapi dan rawatan awal sejak berusia lapan bulan sudah menunjukkan perkembangan positif.

Malah, maklumat terkini perubatan mendapati Shailendra yang kini berusia lapan tahun sudah normal dan mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

"Sekarang dia tidak seperti dulu. Dia sudah pulih 100 peratus dan berkelakuan seperti anak normal lain.

"Dia sudah mampu mengikuti pelajaran dengan baik, sudah ada banyak kawan dan kemampuan sosialnya juga meningkat," katanya.

Lebih membuatkan pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta ini terkesan ialah apabila anak lelakinya itu sudah mampu berinteraksi dengan baik.

"Dia sudah boleh curhat (curahan hati/ luahan perasaan) dengan saya, kita bercerita, bergosip dan usik adiknya," kata Dian.

SUMBER: Liputan6

Dian Sastrowardoyo

Artikel Lain