Kolaborasi bersama BTS dalam 'Boy With Luv', Halsey akui tertekan - Bintang Global | mStar

Kolaborasi bersama BTS dalam 'Boy With Luv', Halsey akui tertekan

Gandingan Halsey dan BTS menerima pujian peminat dunia.

PENYANYI Halsey mengakui bukan mudah untuk menyiapkan video muzik (MV) untuk lagu Boy With Luv gandingan bersama kumpulan kpop popular BTS.

Menurut laporan CNN, Halsey berkata dia melalui pengalaman sukar untuk menari bersama kumpulan tersebut.

"Ketika penggambaran MV, saya buat keputusan untuk menari bersama mereka dan sejujurnya saya tak pernah melakukan koreografi di video tarian sebelum ini, jadi ini merupakan benda baru.

"Namun semuanya berjalan lancar dan mereka semuanya memberi sokongan dan bantuan dengan begitu baik.

"Apabila berada satu set bersama BTS sangat menyenangkan kerana mereka amat luar biasa dan saya rasa seperti berada di rumah sendiri," katanya menerusi video BTS 'Map Of The Soul: Persona' pada Selasa.

Sementara itu, penyanyi lagu Bad At Love ini berkata kolaborasi mereka itu menjadi penanda aras baharu dalam kerjasama muzik di antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

"Saya rasa ia sangat bagus sekali kerana gabungan kami ini akan menunjukkan siapa kami sebagai penyanyi. Gandingan yang sangat istimewa, perkahwinan muzik dua negara dari Amerika dan Korea untuk seluruh dunia," ujarnya.

Sehingga kini, video muzik Boy With Luv sudah menerima hampir 160 juta tontonan di Youtube sejak ia dilancarkan pada Jumaat lalu.

Ia turut menjadi trending di beberapa buah negara termasuklah Malaysia.

Halsey , BTS