suria

Penyanyi Lagu Careless Whisper, George Michael Meninggal Dunia Pada Usia 53

George Michael meninggal dunia pada usia 53 tahun.

LONDON: Penyanyi pop George Michael, yang terkenal pada tahun 1980an bersama kumpulan Wham! dan kemudiannya meneruskan karier sebagai artis solo meninggal dunia pada Ahad di rumahnya di England.

Dia berusia 53 tahun.

"Ia adalah amat menyedihkan untuk mengesahkan bahawa anak kesayangan kami, abang dan rakan George telah meninggal dunia di rumah ketika perayaan Krismas," kata jurucakapnya menerusi kenyataan.

"Keluarga meminta privasi mereka dihormati pada masa sukar seperti ini. Tiada lagi komen pada peringkat ini," kata kenyataan itu lagi.


George Michael dan Andrew Ridgeley.

Dilahirkan pada tahun 1963 dengan nama Georgios Kyriacos Panayiotou, dia pernah bermain muzik di sistem kereta api bawah tanah London sebelum membentuk Wham! bersama Andrew Ridgeley pada tahun 1981.

Sepanjang kariernya, dia mencipta beberapa lagu hits termasuk Careless Whisper yang popular hingga ke hari ini dan Faith.

Albumnya telah terjual melebihi 100 juta unit sepanjang kejayanya dalam tempoh empat dekad.


Michael ketika mengadakan persembahan di Abu Dhabi pada 2008.

Michael mula bertemu rakan duetnya, Ridgeley di sekolah tinggi dan mereka mula membentuk Wham! pada tahun 1981.

Berbekalkan wajah tampan dengan imej hedonistik, pasangan berkenaan yang pada ketika itu berusia 18 tahun mula mencipta nama sebagai artis duet pop popular menerusi lagu Club Tropicana dan Wake Me Up Before You Go-Go.

Kemasyhuran mereka merebak ke seluruh dunia dan pada tahun 1985, Wham! menjadi band barat yang pertama mengadakan konsert di China.


Ketika mengadakan persembahan di acara penutup Olimpik London 2012.

Mereka berpecah pada tahun berikutnya dan Michael memulakan kerjaya solo dengan mensasarkan penonton yang lebih dewasa.

Album solo pertama Michael, Faith telah dikeluarkan pada tahun 1987.

George Michael, Wham!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain