suria

Pelakon British Tak Dikenali Tom Holland Pegang Watak Spider-Man

Tom Holland bintang British yang tidak begitu dikenali telah terpilih untuk membawa watak Peter Parker dalam siri filem Spider-Man akan datang.

NEW YORK: Pelakon British yang tidak begitu dikenali Tom Holland telah dipilih untuk membawa watak Spider-Man pada usia muda dalam filem yang bakal ditayangkan pada Julai 2017, demikian menurut pengumuman yang dibuat oleh Sony Pictures dan Marvel Studios pada Selasa.

Holland, yang baru berusia 19 tahun akan membawa watak Peter Parker ketika masih di sekolah menengah.

Watak Peter Parker yang sudah dewasa dan memasuki alam kolej dan pekerjaan sebelum ini dibawa oleh Tobey Maguire dan selepas itu Andrew Garfield.

Satu-satunya filem popular yang dilakonkan oleh Holland ialah menjadi anak kepada Naomi Watts dalam drama tsunami "The Impossible" yang ditayangkan pada 2012.

Dia terpilih selepas ujian lakon layar dilakukan di seluruh dunia.

"Kami telah menguji bakat begitu ramai pelakon muda untuk watak Peter Parker sewaktu muda dan apa yang kami saksikan uji bakat Tom sangat istimewa," kata Tom Rothman, pengerusi Sony Pictures Motion Pictures Group.

Di bawah perjanjian baru antara Sony dan Marvel, Februari lalu, filem Spider-Man seterusnya akan diterbitkan di bawah jenama filem Marvel dan watak-watak utama lain dalam siri komik Marvel seperti Iron Man, Thor dan Kapten Amerika, akan turut muncul dalam filem-filem akan datang Spider-Man.

Holland dijangka muncul buat kali pertama sebagai Spider-Man menerusi filem terbaru Marvel iaitu "Captain America: Civil War" yang dijadual akan ditayangkan menjelang musim panas tahun depan.

Sony Pictures Entertainment, iaitu sebahagian daripada Kumpulan Sony akan terus memegang hak sinematik semua francais Spider-Man.

Spider-Man adalah watak ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko pertama kali muncul dalam siri komik Marvel pada tahun 1962.

Lima filem Spider-Man sebelum ini telah berjaya mengutip sebanyak RM15 bilion (AS$4 bilion) di seluruh dunia.

Artikel Lain