suria

MDV Biaya Lebih 300 Syarikat Menerusi Dana RM1 Bilion

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menyasar untuk membiayai operasi lebih 300 syarikat dalam tempoh 20 tahun akan datang melalui pengeluaran berpotensi berjumlah RM4 bilion, dikumpul daripada dana ketiganya bernilai RM1 bilion yang baru dilancarkan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya berkata dana itu, yang akan dikumpulkan melalui Nota Jangka Sederhana Islam (iMTN), dijangka membiayai antara 400 dan 500 projek, kebanyakannya dalam Industri 4.0.

“Buat masa ini, kami akan menumpukan (pengeluaran pembiayaan) kepada teknologi baharu, iaitu antaranya kepintaran buatan, realiti maya, realiti berperantara dan percetakan 4D.

“Kami juga berusaha untuk membiayai syarikat permulaan yang mempunyai idea dan rancangan perniagaan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dana itu oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di sini, Selasa.

Md Zubir berkata, bagi dana ketiga itu, MDV telah mengenal pasti 15 syarikat, yang mempunyai projekdalam tangan bernilai kira-kira RM100 juta, terdiri daripada percetakan 3D, robotik, e-dagang dan lain-lain, yang akan menerima pembayaran dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sementara itu, ketika berucap, Johari berkata, dana baharu tersebut menunjukkan sokongan dan keyakinan berterusan kerajaan terhadap pendekatan MDV dalam menguruskan kedua-dua dananya, iaitu RM1.6 bilion sumber dari Japanese Bank of International Cooperation pada 2002, dan terbitan iMTN bernilai RM1.5 bilion pada 2008.

“Memandangkan projek berasaskan teknologi dianggap berisiko tinggi maka mod pembiayaan lama adalah sukar diperolehi. Bagaimanapun, kerajaan yakin projek seumpama itu mempunyai masa depan yang cerah dan membawa potensi yang amat besar untuk menyumbang kepada ekonomi.

“Inilah faktor yang tepat mengapa kerajaan yakin pembiayaan alternatif ini perlu disediakan untuk syarikat tersebut dalam memastikan mereka mampu membangun dan berkembang sehingga potensi terbesar masing-masing,” katanya.

Johari berkata, dengan pelancaran dana ketiga itu, MDV akan berupaya meneruskan peranannya dalam membiayai sektor teknologi dan memastikan syarikat-syarikat berkenaan sentiasa mempunyai pembiayaan segera untuk memenuhi mandat mereka dalam menyokong agenda teknologi Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 2002, MDV telah mengeluarkan pembiayaan lebih RM11 bilion kepada lebih 680 syarikat teknologi, membolehkan mereka menyempurnakan dan menyerahkan kira-kira 773 projek dalam pelbagai bidang teknologi.

Perusahaan kecil dan sederhana merupakan 82 peratus daripada syarikat yang menerima pembiayaan. Daripada jumlah itu 68 peratus adalah syarikat bumiputera.-- Bernama

MDV, Zubir Ansori

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain