suria

Maxis Catat Hasil Dan Keuntungan Kukuh

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai (PAT) dinormalkan Maxis Bhd meningkat 14.2 peratus kepada RM484 juta bagi suku kedua yang berakhir 30 jun, 2017 (Suku-2 2017) daripada RM424 juta yang dicatatkan pada Suku-2  tahun kewangan 2016.

Peningkatan itu dipacu oleh perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan  (EBITDA) yang lebih tinggi dan caj harta tanah, loji dan kelengkapan yang lebih rendah, kata syarikat telekomunikasi terkemuka itu dalam satu kenyataan hari ini.

Maxis berkata, EBITDA dinormalkan meningkat 9.3 peratus kepada RM1,104 juta daripada RM1,010 juta yang dicatatkan tahun lalu, mencerminkan peningkatan hasil yang stabil dan kawalan kos baik.  Margin EBITDA  (di atas hasil perkhidmatan) turut kukuh pada 52 peratus.

Dividen interim kedua sebanyak lima sen sesaham diisytiharkan.

Hasil prabayar meningkat 2.9 peratus kepada RM984 juta daripada RM956 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun lalu.

Hotlink FAST, peneraju pasaran prabayar 4G dengan purata hasil setiap pengguna (ARPU) yang tinggi sebanyak RM44, memiliki lebih daripada 1.8 juta langganan, meningkat tiga kali ganda dari tahun lalu.

Hasil pascabayar meningkat dua peratus kepada RM998 juta daripada RM978 juta tahun lalu, dengan asas pelanggan kukuh menghampiri 1.9 juta pelanggan MaxisONE dengan ARPU bulanan sebanyak RM120.

Hasil perkhidmatan naik 3.3 peratus kepada RM2,122 juta berbanding RM2,055 juta yang dicatatkan tahun lalu, disokong oleh pengekalan prestasi pascabayar dan prabayar walaupun berdepan persaingan yang sengit.  Bagi separuh pertama 2017,  hasil perkhidmatan meningkat 1.8 peratus kepada RM4,251 juta berbanding RM4,177 juta tahun lalu.

EBITDA dinormalkan naik 2.6 peratus kepada RM2,227 juta daripada RM2,171 juta sebelumnya manakala PAT dinormalkan meningkat  9.5 peratus kepada RM998 juta daripada RM911 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2016.

Maxis berkata semakin ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman data yang amat pantas di rangkaian 4G LTE utamanya yang kini telah mencapai 89 peratus daripada penduduk negara.

“Orang Malaysia sukakan Internet, dan ini terbukti apabila penggunaan data LTE telah meningkat hampir dua kali ganda kepada 7.0 GB daripada 3.7 GB sebulan pada Suku-2 tahun lepas.

“Kami mengakhiri suku ini dengan 5.6 juta pengguna 4G LTE, meningkat daripada 3.5 juta tahun lalu,” kata syarikat itu.

Maxis juga berkata langganan pelan MaxisONE semakin kukuh hasil daripada pelan pemilikan telefon pintar yang mudah – Zerolution dan kempen Power of ONE.

“Peningkatan data terkini, Hotlink Happy Hour, terus menarik langganan ARPU prabayar 4G yang tinggi. Pelanggan boleh menikmati Internet berkelajuan tinggi percuma sehingga 30GB setiap bulan,” kata Maxis, sambil menambah aduan pelanggan semakin berkurangan apabila mereka menikmati produk yang tidak perlu dibimbangi.

Syarikat telekomunikasi itu juga berkata pengguna mempunyai lebih kawalan dan fleksibiliti untuk menguruskan transaksi mereka dengan aplikasi  MyMaxis dan Hotlink RED.

Internet berkualiti tinggi, kata Maxis, adalah keutamaan kami.

“Kami melabur sebanyak RM373 juta dalam perbelanjaan modal bagi setengah tahun pertama 2017 dan akan terus membuat pelaburan besar untuk memastikan pelanggan kami menikmati pengalaman penstriman mudah alih terbaik,” kata Maxis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Morten Lundal berkata Suku-2 adalah suku yang amat positif.  “Kami merekodkan prestasi kewangan yang kukuh dengan skor kepuasan pelanggan paling tinggi yang pernah kami rekodkan.

"Keutamaan kami adalah untuk terus menyediakan pengalaman rangkaian terbaik dan mewujudkan pengalaman pelanggan yang tidak dapat ditandingi di semua saluran. 

''Ini akan menjadi lebih baik apabila kami mencapai pendigitalan sepenuhnya dan kami berada di kedudukan yang lebih baik untuk mencapai hasrat ini,” kata Lundal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain