suria

PUNB Lulus Pinjaman RM79.4 Juta Dalam Enam Bulan

MELAKA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) meluluskan pinjaman berjumlah RM79.4 juta kepada 255 usahawan melalui lima skim pembiayaannya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi PUNB Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 184 buah syarikat berjaya dibangunkan melalui skim tersebut iaitu Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) membabitkan empat syarikat, Prosper Pemborong (enam), Prosper Runcit (83), Prosper Teras (45) dan Prosper Usahawan Muda (46).

“Melalui skim Prosper Runcit, kita meluluskan RM31.1 juta kepada 127 usahawan, Skim PKS (RM19.2 juta;14 usahawan), Prosper Teras (RM13.2 juta; 56 usahawan), Prosper Pemborong (RM12.8 juta;10 usahawan) dan Prosper Usahawan Muda (RM3.1 juta; 48 usahawan).

“Tahun ini, kita beri peruntukan pembiayaan sebanyak RM200 juta kepada usahawan yang ingin menjalankan perniagaan dan kita berharap baki sebanyak RM120.6 juta dapat disampaikan kepada permohonan baharu sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kedai tayar Azzrie Tyre Services dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri PUNB bersama usahawan negeri Melaka di Ayer Keroh di sini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Azhar Ahmad dan Pengerusi Kumpulan Usahawan PUNB Melaka Datuk Dr Baba Md Deni.

Mohd Ali berkata sejak penubuhan PUNB pada 1971 hingga Jun lepas, PUNB telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM2.7 bilion kepada lebih 9,000 usahawan dan daripada jumlah itu, sebanyak RM71 juta disalurkan kepada 391 usahawan di Melaka.

"Saya harap lebih ramai usahawan dalam kalangan Bumiputera dapat dilahirkan. Inilah usaha utama PUNB untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing, bukan sahaja dalam negeri malah di luar negara,” katanya.

Beliau berkata PUNB giat menggalakkan usahawan muda menjalankan perniagaan dalam bidang automotif berikutan bidang itu mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya.

“Sebelum ini, kita mendedahkan hanya 10 peratus daripada 35,000 usahawan automotif di seluruh negara terdiri daripada golongan Bumiputera.

“Justeru, PUNB akan berusaha untuk meningkatkan jumlah usahawan Bumiputera dalam bidang ini kerana ia menjanjikan pulangan yang cukup lumayan,” katanya.

Katanya sejak 1971 hingga Jun lepas, PUNB menyalurkan RM249.8 juta kepada 1,191 usahawan dalam sektor automotif dengan 983 buah syarikat berjaya dibangunkan.

Artikel Sebelum

Keuntungan Westports Susut

Artikel Lain