suria

ZTE Corp Sasar Kuasai 10 Peratus Bahagian Pasaran Telefon Pintar

KUALA LUMPUR: Syarikat peralatan dan sistem telekomunikasi, ZTE Corporation, menyasar untuk menguasai 10 peratus bahagian pasaran telefon pintar Malaysia pada 2018, naik daripada tiga peratus yang dicatatkan tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif (Kumpulan Peranti Rantau Asia Tenggara) ZTE Corporation, Jeremy Zhao berkata bagi 2016 dan 2017, syarikat menyasar untuk meningkatkan bahagian pasaran di negara ini, masing-masing kepada lima peratus dan lapan peratus.

"Bagi mencapai matlamat ini, kami akan menambah 40 lagi kedai konsep menjelang akhir tahun daripada 10 pada masa ini, dan memulakan program ZTE Tour mulai hari ini untuk meningkatkan kesedaran pelanggan mengenai produk kami," katanya.

Beliau berkata harga produk ZTE yang berpatutan akan memberi kelebihan dalam membantu meningkatkan bahagian pasaran syarikat.

Zhao berkata demikian semasa pelancaran telefon pintar terbaharu ZTE, AXON 7, dan ZTE Tour di sini, Khamis.

Beliau berkata dari segi segmen telefon pintar, ZTE menguasai 4.3 peratus daripada bahagian pasaran global dan pada kedudukan enam teratas pada suku kedua berakhir 30 Jun 2016.

Zhao berkata syarikat itu akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R and D) untuk menambah baik produk.

"Kami melabur kira-kira 15 peratus daripada jumlah keuntungan tahunan pada R and D untuk menyediakan produk premium pada harga yang berpatutan kepada pengguna," katanya.

Mengenai rancangan pengembangan kedai konsep, Pengarah Saluran Kumpulan Peranti Rantau Asia Tenggara ZTE Malaysia Corp Sdn Bhd Danny Chan berkata syarikat akan membuka tiga kedai baru di Skudai, Pulai dan Johor Baharu pada akhir bulan ini.

"Pada masa ini, 10 kedai konsep sedia ada terletak di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Baharu dan Kota Baharu," katanya kepada Bernama selepas pelancaran berkenaan.

Pada majlis hari ini, Zhao berkata syarikat itu menyasar untuk menjual antara 5,000 dan 10,000 unit model telefon pintar, AXON 7, menjelang akhir tahun di Malaysia.

Beliau yakin dapat mencapai sasaran itu kerana model baharu itu pada harga yang berpatutan pada RM1,999 dengan spesifikasi premium.

Setakat ini, ZTE telah menjual lebih 150,000 unit telefon pintar di Malaysia sejak muncul pertama kali pada 2014 dan mempunyai hampir 1,200 wakil jualan di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain