suria

Dilabel ‘zionis’ kerana bawa plakad kutuk Netanyahu, peserta himpunan Dataran Merdeka tuntut penganjur mohon maaf! Pelik laung takbir pun dilarang

Syed Muhammad Shafiq menunjukkan plakad yang dibawanya ke perhimpunan di Dataran Merdeka.

HIMPUNAN 'Freedom for Palestine' yang diadakan di Dataran Merdeka tidak mencapai matlamat yang diharapkan apabila peserta dikejutkan dengan ucapan pihak penganjur menyamakan segelintir peserta perhimpunan seperti rejim zionis.

Himpunan pada Ahad itu dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bagi menunjukkan tanda solidariti kepada penderitaan rakyat Palestin.

Rasa tidak puas hati itu berlaku apabila wakil pihak penganjur melabelkan peserta sebagai 'zionis' gara-gara memegang plakad memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’.

"Kami agak kecewa dengan beberapa individu di sebelah sana yang berperangai seperti zionis-zionis," katanya dalam ucapan di pentas kepada umum.

Perhimpunan 'Freedom for Palestine' di Dataran Merdeka. -Gambar AZHAR MAHFOF/The Star

Tindakan penganjur itu ternyata mengecewakan banyak pihak terutama para peserta yang mahu memperjuangkan nasib rakyat di bumi Gaza.

Bercakap kepada mStar, peserta berkenaan, Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar berkata dia hadir bersama keluarga pada perhimpunan itu dan mereka bukan pertama kali menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

"Kami setiap Jumaat akan menyertai perhimpunan termasuk di Masjid Negara dengan membawa bahan-bahan untuk menunjukkan semangat seperti poster dan bendera Palestin.

"Plakad yang papar Netanyahu ni saya buat malam tadi untuk bawa ke perhimpunan. Kami tiba dalam sekitar pukul 10 pagi. Masa 10 minit pertama pegang plakad tu tak ada masalah, sehingga seorang speaker terus menunjukkan jarinya ke arah kami supaya menurunkan plakad.

"Apa salahnya saya? Adakah mesej yang saya bawa dengan menyatakan Netanyahu sebagai penjenayah perang adalah salah," katanya ketika dihubungi mStar.

Syed Muhammad Shafiq (kanan) bersama keluarga yang hadir pada perhimpunan.

Mengulas lanjut, Syed Muhammad Shafiq yang berusia 35 tahun berkata, jika bukan 'penjenayah perang', maka tidak akan wujud perhimpunan itu yang mahukan kebebasan buat rakyat Palestin yang menderita akibat peperangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur nafi larang laung Allahuakbar, mahu peserta himpunan beradab

Menurutnya, plakad tersebut sekadar untuk menyuarakan kemarahannya terhadap kekejaman zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap bumi Gaza dan meragut banyak nyawa yang tidak berdosa.

Kami melancarkan protes secara senyap (silent protest).

SYED MUHAMMAD SHAFIQ SYED JAAFAR

"Solidariti ini semuanya tahu angkara pihak Netanyahu yang mengebom Gaza. Jadi, ia sebagai satu rasa ketidakpuashatian terhadap tindakan mereka.

"Kami melancarkan protes secara senyap (silent protest). Kami tidak bersorak, juga tak menggunakan kata-kata kesat. Jadi, apa salahnya plakad ini?" soalnya.

Syed Muhammad Shafiq (baju merah) turut menyertai himpunan lain sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

Syed Muhammad Shafiq turut meluahkan kekecewaannya sebaik dilabelkan sebagai zionis daripada individu yang sepatutnya disegani kerana memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

"Kami bukannya bertindak ganas, dan mak saya juga berada di situ dalam kumpulan kami yang terdiri ahli keluarga. Adakah mahu katakan mak saya juga sebagai zionis?

"Maksud zionis itu menggambarkan keganasan, sebagaimana yang berlaku di Palestin apabila rejim zionis membunuh bayi, orang tua dan ramai yang tidak berdosa," ujarnya lagi.

Susulan kekecewaan itu, dia bersama ahli keluarga membuat keputusan untuk meninggalkan perhimpunan.

"Ini sepatutnya menjadi satu perhimpunan aman, tapi berlaku sebaliknya. Bukannya saya melakukan rusuhan atau provokasi... kami tidak menentang secara kekerasan," katanya yang pernah mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO), pada 2012.

Menurut Syed Muhammad Shafiq, pihaknya dalam pertimbangan untuk menghantar surat tuntutan mengikut undang-undang atau 'letter of demand' bagi menuntut individu berkenaan dan penganjur supaya membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung insiden yang berlaku.

"Permohonan maaf tersebut bukan kepada kami sahaja, tetapi juga kepada mereka yang menunjukkan solidariti buat Palestin terutama peserta-peserta himpunan.

Ramai menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin. -Gambar AZHAR MAHFOF/The Star

Selain itu, ramai turut mengkritik tindakan penganjur yang didakwa tidak membenarkan para peserta melaungkan takbir Allahu Akbar (Allah Maha Besar) berikutan himpunan tersebut turut disertai bukan Islam.

"Kenapa mahu menganggap laungan tersebut bersifat 'offensive'? Kita bukannya minta mereka melaungkannya. Kita bukannya mencetuskan keganasan.

"Perhimpunan ini sepatutnya menyatu-padukan, dan bukan untuk memecah-belahkan," katanya dengan nada kesal.

Dalam pada itu, mStar sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas pihak penganjur berhubung insiden yang tular, namun belum berhasil.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain