suria

Terhibur tengok 2 beranak rancak berborak macam BFF... si kecil banyak nak cerita, semua kena ‘lapor’ kepada ibu

Keakraban dua beranak ini mengundang perhatian netizen.

GELAGAT dua beranak yang rancak bersembang di dalam kereta mengenai keputusan peperiksaan si anak, mengundang perhatian warga maya.

Dalam kerancakan perbualan yang dituturkan dalam loghat utara, apa yang lebih membuatkan netizen kagum adalah keakraban dua beranak berkenaan yang tidak ubah seperti sahabat baik.

Menerusi video yang dikongsikan di laman TikTok, si ibu begitu teruja bertanyakan anak perempuannya mengenai keputusan peperiksaan Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) sebaik sahaja si kecil itu masuk ke dalam kereta.

Reaksi si anak juga sama seperti ibunya, malahan dia juga kelihatan tidak sabar-sabar berkongsi keputusan cemerlang setiap mata pelajaran yang diperoleh untuk ditunjukkan kepada wanita tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Amirah Mohd Ali berkata hubungannya bersama anak perempuan, Nur Zahira Liyana atau lebih mesra disapa Yayang, sememangnya akrab lebih-lebih lagi kanak-kanak tersebut adalah anak tunggalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bagaikan BFF! Aksi spontan ibu, anak menari lagu Soley Soley bikin ramai terhibur - “Bila dah besar, baru kami betul-betul rapat!”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak hiba balik asrama, walau nangis tak putus beri bermacam nasihat untuk ibunya - “Tak sampai 15 minit dia call tanya ibu sihat?”

"Saya tinggal di rumah ibu di Kuala Nerang, Kedah buat masa ini selepas arwah ayah meninggal dunia, manakala suami bekerja di Sungai Buloh, Selangor.

"Di rumah ini ada kami dua beranak, ibu saya iaitu Maktok kepada Yayang, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Ibu dan adik-adik saya memang suka melayan Yayang.

"Disebabkan itu, pertuturan Yayang kelihatan agak matang kerana sudah terbiasa bersembang dengan orang yang lebih tua daripadanya," cerita wanita berusia 34 tahun ini.

Menurut Siti Amirah, anak perempuannya yang kini berusia sembilan tahun mula dihantar ke taman asuhan seawal usia tiga tahun setengah kerana sudah menunjukkan minat untuk pergi ke sekolah.

YAYANG 2

Yayang merupakan pelajar yang aktif di sekolahnya.

"Sampailah sekarang dia suka pergi sekolah walaupun demam. Hanya kalau dapat cuti sakit daripada doktor barulah dia tak pergi.

"Dekat sekolah, Yayang seorang murid yang aktif dalam bidang ko-kurukulum selain dilantik sebagai ketua kelas.

"Bercakap mengenai perwatakan Yayang, dia merupakan seorang yang talkative (rancak bercakap) dan seorang yang sangat penyayang terutama dengan orang yang rapat dengannya," ujar suri rumah yang turut menjalankan bisnes secara dalam talian ini.

Berkongsi mengenai pendekatan dalam mendidik anak tunggalnya itu sehingga video gelagat mereka berdua meraih perhatian warga maya, Siti Amirah berkata dia lebih gemar melayan kanak-kanak berkenaan seperti seorang rakan karib.

Dengan anak kita tak boleh diam, kena berinteraksi. Bila kita dengar apa yang mereka cakap, mereka lagi seronok nak bercerita.

SITI AMIRAH MOHD ALI

IBU

"Saya suka buat dia jadi kawan. Setiap kali menjemputnya pulang, saya memang tanya apa aktiviti seharian dia. Dari situ kita tahu dia buat apa, dia belajar apa, dengan siapa dia berkawan dan lain-lain.

"Dengan anak kita tak boleh diam, kena berinteraksi. Bila kita dengar apa yang mereka cakap, mereka lagi seronok nak bercerita.

"Saya beri dia main telefon bimbit, tapi bila musim periksa, saya bertegas dan ambil telefon bimbit.

"Saya akan duduk dengan dia study sama-sama. Sebab itu saya excited nak tahu keputusannya, sebab kami study bersama," katanya sambil menambah, keputusan akademik Yayang di sekolah rendah juga agak cemerlang.

KOMEN 1

Netizen terhibur dengan aksi dua beranak berkenaan.

Tidak menyangka perkongsian videonya bersama Yayang meraih sehingga melebihi 1.1 juta jumlah tontonan, Siti Amirah berkata dia sekadar mahu merakamkan momen berharga bersama anaknya itu untuk diabadikan di media sosial.

"Bila baca komen, ramai yang tumpang seronok tengok kami macam kawan. Saya pernah bekerja sebelum ini, masa tak banyak untuk anak. Sekarang dah jadi suri rumah, saya mahu manfaatkan masa dengan dia.

"Zaman sekarang bukan macam dulu. Kita kena pantau anak-anak sebab dunia makin canggih.

"Kena seimbang... dalam bertegas, kita dalam masa yang sama kena masuk dunia mereka. Jadi mereka tak rasa ada jurang dan secara tak langsung anggap kita BFF. Namun dalam masa yang sama, dia tahu batas sebagai seorang sebagai anak," akhirinya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain